Pasukan Harith Iskander Berjaya Selamatkan Ibu, Bayi Terperangkap Banjir

Pelawak dan pengacara Harith Iskander, 55, yang menjalankan misi menyelamat di beberapa lokasi banjir tular di media sosial apabila dia dan pasukan berjaya menyelamatkan seorang wanita dan bayi yang terperangkap.

Harith telah memuat naik hantaran di Instagram dan berkongsi situasi ketika misi menyelamat itu disertai badan bukan kerajaan (NGO), The Hope Branch.

“Bayi dan ibu ini terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai selama dua malam.

“Apabila kami mendengar berita Kampung Baru Hicom masih tenggelam, The Hope Branch terus mendapatkan bot, bawa pasukan sukarelawan yang hebat ke sana.

“Keadaan itu tidak dapat dibayangkan kerana keadaan gelap, kedalaman air sehingga 10 kaki di beberapa tempat, kereta dan van ditenggelami air.

“Seorang pemilik kedai membantu menunjukkan arah kepada bot kami ke rumah di mana wanita dan bayi itu terperangkap dan kami berjaya menyelamatkan mereka,” tulisnya.

Ketika menyelamatkan bayi itu, Harith berkata, bayi itu mempunyai lingkaran hitam di bawah matanya, tetapi bayi itu sangat baik dan sentiasa tenang.

“Saya harap apabila dia melihat video ini suatu hari nanti, dia sedar betapa hebatnya dia ketika itu,” tambah Harith.

Marcella