Pemandu Lelaki Maut Ketika Membuat Cubaan Memotong Lori Balak

Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlanggar belakang sebuah lori balak dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer (KM) 357.5 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, Chow Soon Khong, 21, dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai memandu dengan laju dikatakan cuba memotong sebuah lori balak yang ketika itu sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya dari arah sama.

“Bagaimanapun, semasa dalam cubaan memotong, mangsa terlanggar belakang kenderaan berat itu, sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan lebuh raya,” katanya.

Tambah Baharudin, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan berat berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Sinar Harian

Kredit Foto: TV3

Marcella