Selepas Penangguhan Selama Sebulan, DBKL Larang Penjualan Arak Bermula 1 November

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menguatkuasa larangan penjualan arak (liquor) di premis perniagaan seperti kedai ubat Cina, kedai serbaneka dan kedai runcit bermula Isnin, 1 November 2021.

Walaubagaimanapun, premis yang berkenaan masih boleh menjual bir dari jam 7 pagi hingga 9 malam.

Didalam kenyataannya DBKL mengarahkan premis yang menjual bir untuk menyediakan pameran khas atau satu ruang jualan berasingan daripada minuman lain dan menguncinya sebaik sahaja waktu larangan penjualan tiba.

Manakala restoran, lounge, pub dan bar yang memiliki lesen penjualan arak hanya dibenarkan menjual arak dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Permohonan lanjutan masa bagi Lesen Minuman Keras di pusat-pusat hiburan berkenaan boleh dilanjutkan sehingga jam 2 pagi sahaja.

Premis perniagaan penjualan arak perlu mempamerkan Lesen Minuman Keras di tempat perniagaan sepanjang masa serta meletakkan kod QR di pintu masuk premis.

Premis tersebut juga tidak boleh terletak berhadapan dengan Rumah Ibadah, Sekolah, Balai Polis dan Hospital.

Pemilik premis penjualan arak perlu memastikan tiada pengunjung yang berumur di bawah 21 tahun serta memastikan tiada pengunjung beragama Islam mengambil minuman keras.

Larangan penjualan arak sebelum ini sepatutnya dilaksanakan pada 1 Oktober tetapi DBKL menangguhkan keputusan tersebut untuk melakukan kajian lebih mendalam mengenai garis panduan penjualan arak.

Sumber: The Vibes, BH

Arfah