Pendaftaran E-Tunai ePemula Sebanyak RM150 Boleh Dilakukan Bermula 11 April

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan di Twitter rasminya semalam bahawa program ePemula akan bermula pada hari ini, 11 April.

ePemula adalah program yang dibentangkan semasa Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 kepada golongan belia yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Tambahan pula, pelajar sepenuh masa di institusi tinggi awam dan swasta juga layak untuk mendaftar.

Bagi yang layak, terdapat empat penyedia perkhidmatan untuk mendaftar iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ’n’ Go eWallet.

Penerima yang layak hanya boleh menuntut e-tunai tersebut daripada salah satu penyedia perkhidmatan sahaja.

Menurut kenyataan siaran media itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula ini bermula pada 11 April 2022 sehingga 1 Jun 2022, tetapi e-tunai tersebut tidak boleh disimpan dan perlu dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

Maya Basir