“UPSR Dan PT3 Dibatalkan, SPM Tunda Suku Pertama 2021” – Menteri Kanan Pendidikan

Sebentar tadi satu pengumuman khas telah dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Mohd Radzi Md Jidin menerusi satu sidang media.

Menerusi sidang media tersebut, Dr. Mohd Radzi berkata peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) akan dibatalkan. Manakala, peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pula akan ditunda pada suku pertama tahun 2021.

“KPM ingin memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan,” katanya dalam sidang media tadi.

Tambah beliau, pembatalan UPSR dan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Perubahan Tarikh Peperiksaan Semester STPM & STAM

Bagi peperiksaan tingkatan 6 iaitu STPM (Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia), tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Peperiksaan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021. Susulan penundaan tarikh peperiksaan ini, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

Dalam pada itu, beliau juga turut menghargai kesemua 500 ribu guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berjalan walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan PKP.

Tonton video rasmi sidang media KPM sebentar tadi di bawah ini:

Syafiqa Irdina