Polis Siasat Insiden Lelaki Nyaris Digilis Lori Kontena Ketika Isi Angin Tayar Motosikal

Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian membabitkan seorang lelaki yang hampir digilis sebuah lori kontena di pekarangan sebuah stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman pada pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di stesen minyak berkenaan.

“Ketika kejadian, sebuah lori kontena yang dipandu seorang wanita berumur 35 tahun membuat pusingan U di dalam kawasan stesen minyak, sebelum melanggar mangsa yang sedang mengisi angin tayar motosikalnya.

“Kemudian mangsa terjatuh selepas dilanggar dan hampir digilis oleh lori berkenaan.

“Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun dipercayai mengalami luka pada tangan dan sakit bahagian kaki serta badan,” katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Polis memaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber: Sinar Harian

Marcella