Puteri Sulung Ayie Floor 88 Pelengkap Kebahagiaan – “Belum Sedia Kongsi Wajah Anak Kerana…”

Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham telah bergelar bapa pada 22 Julai lalu dan dikurniakan puteri sulung yang bernama Nayla Amanda.

Menurut Ayie atau nama sebenar Nik Fadlee Elhamshah, 24, berkata, dia belum bersedia untuk berkongsi wajah anak kerana masih terlalu awal dan Nayla baru berusia tiga minggu.

“Usia bayi pun belum sampai sebulan lagi. Insya-Allah, saya akan berkongsi gambarnya pada masa yang sesuai. Tunggulah, dalam sedikit masa lagi. Kehadiran Nayla melengkapkan kebahagiaan saya dan isteri.

“Malah, melihat isteri bertarung nyawa ketika nak melahirkan anak pun, saya berasa sedih dan amat tersentuh hati. Betapa besarnya pengorbanan seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu,” katanya.

Ayie ditemui semasa di majlis sambutan ulang tahun Floor 88 yang kelima dan pelancaran single terbaharu berjudul Sahabat dan album digital mereka, Infinity.

Berkongsi tentang rutin hariannya, Ayie berkata, menjaga bayi amat mencabar dan harus berjaga malam untuk menguruskan Nayla.

“Sekarang saya dah rasa bagaimana menjaga anak yang bangun pada tengah malam dan tak tidur hingga ke pagi. Begitu juga mendengar dia menangis. Ia satu pengalaman baharu yang menyeronokkan dan membahagiakan dalam hidup saya kini.

“Alhamdillah, saya juga sekarang makin selesa menjaga anak bagi membantu isteri yang masih dalam pantang. Selain itu, keluarga saya dan mentua juga banyak membantu kerana kami baharu ada anak sendiri,” katanya.

Ayie dan isteri, Natasha Ahmad Nawawi atau Tasha Awie mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober tahun lalu.

Maya Basir