Pelakon Alif Hadi menjawab persoalan sekiranya dia adalah orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga kekasihnya, Yasmin Hani sehingga aktres jelita itu bercerai pada Disember tahun lalu.

Perbezaan umur sembilan tahun tidak menjadi penghalang buat pasangan sejoli ini untuk bercinta kerana menurut Alif, 34, sikap positif Yasmin membuatkan ibu tunggal kepada dua anak itu mudah didekati.

“Buat masa ini, saya belum lagi menerima sebarang komen menuduh saya sebagai punca perceraian Yasmin. Apatah lagi, kami mula rapat pada awal tahun ini. Sikapnya itu yang membuatkan saya senang untuk mendekati Yasmin.

“Walaupun jarak usia kami sembilan tahun, namun tidak terasa perbezaan umur itu kerana sikap dan perangai Yasmin. Boleh dikatakan, saya senang berkawan dan rapat dengan Yasmin,” ujarnya.

Sebelum ini, Alif mendedahkan jika tiada aral melintang mereka merancang untuk disatukan pada hujung tahun ini.

Tambahnya lagi, buat masa ini mereka hanya mahu fokus untuk terus mengenali hati budi masing-masing dan memberi tumpuan sepenuhnya pada anak-anak Yasmin.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Alif Hadi & Yasmin Hani Rancang Nikah Hujung Tahun Ini – “Kalau Boleh Nak Cepatkan”

Untuk rekod, Yasmin Hani pernah menikah bersama Shahrin Razali pada 2011. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi