Rutin Sampaikan Tazkirah Lepas Solat Buka Pintu Hati Pembantu Rumah Johan Peluk Islam – “Saya Jumpa Surah Al-Fatihah..”

Pelawak dan penyampai radio, Johan tidak menyangka amalan menyampaikan tazkirah kepada anggota keluarga setiap kali selepas solat membawa perubahan besar dalam kehidupan pembantu rumahnya.

Menurut Johan, berkat selalu mendengar tazkirah yang disampaikan, ilmu yang dipelajari dalam diam berjaya membuatkan hati wanita itu untuk memeluk agama Islam.

“Pembantu rumah seorang warga Indonesia dan beragama Kristian. Dia sudah bekerja dengan keluarga saya selama tiga tahun.

“Memang menjadi amalan saya menyampaikan tazkirah setiap kali selesai solat berjemaah dengan membicarakan pelbagai topik.

“Setiap kali sesi perkongsian ilmu berlangsung, dia akan duduk dan mendengar topik dibincangkan. Dia hanya mendengar tanpa bertanyakan apa-apa.

“Hanya selepas balik ke negaranya barulah saya dapat tahu pembantu rumah ini sudah memeluk agama Islam,” katanya.

Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik lebih terharu selepas mendapat tahu usaha yang dilakukan pembantu rumahnya untuk mempelajari agama Islam.

“Saya terjumpa buku nota miliknya yang tertera surah al-Fatihah, namun, cara menyebutnya ditulis dengan huruf rumi, sekali gus menggambarkan betapa bersungguhnya dia untuk mempelajari agama Islam,” kata Johan.

Suami kepada pelakon Ozlynn Wati ini memaklumkan pembantu rumahnya terus mendapat bimbingan daripadanya, namun, cara berbeza.

“Kini, pembantu rumah sudah kembali bekerja dengan saya. Jika sebelum ini hanya mendengar saya menyampaikan tazkirah, kali ini, dia pula bertanya jika ada sesuatu tidak difahami,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir