“Salah Satu Cara Untuk Lepaskan Rindu…” – Ayu Damit Sedih Sambut Puasa & Raya Pertama Tanpa Bapa

Penyanyi dan usahawan, Ayu Damit atau nama sebenarnya Norayu Damit, 33, menzahirkan rasa sedih kerana tahun ini tahun pertama dia tidak dapat menyambut Ramadan dan Syawal bersama bapanya.

Bapanya, Damit Osiri yang merupakan penghidap kanser otak telah meninggal dunia pada Julai tahun lalu.

Menurut Ayu, bagi mengubati perasaan rindu yang tidak tertanggung terhadap arwah bapanya, dia seringkali menyanyikan lagu-lagu sedih di studio.

“Suami akan faham kalau secara tiba-tiba saya masuk studio dan menyanyikan lagu-lagu sedih.

“Itulah salah satu cara untuk saya lepaskan rindu kepada arwah bapa.

“Saya tak mahu tunjukkan kesedihan depan anak-anak kerana tidak mahu mereka risau dengan keadaan saya,” ujarnya kepada mStar.

Bagi Ayu, tahun ini sangat berbeza berbanding tahun sebelum ini kerana ini merupakan kali pertama dia tidak menyambut puasa dan raya bersama bapa tercinta.

Malah, Ayu menyatakan tiada lagi baju Melayu yang perlu dia sediakan sebelum menjelang Syawal seperti tahun-tahun lalu.

Memetik laporan mStar, “Arwah tidak banyak kerenah dan apabila menyambut raya dia hanya minta untuk belikan baju Melayu sahaja.

“Tahun lepas saya sempat belikan baju baharu namun hanya dihantar melalui perkhidmatan pos kerana tidak dapat pulang beraya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam pada itu, Ayu berasa ralat kerana tidak dapat pulang ke Sabah bagi menyambut hari raya bersama bapanya.

Apapun, semoga Ayu tabah dengan ujian yang diberikan dan semoga arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Sumber: mStar

Atiqah Johari