Schumacher Terbabit Kemalangan Ngeri Di Litar Monaco

Pelumba Formula Satu (F1), Mick Schumacher terlibat di dalam kemalangan mengerikan apabila keretanya terputus dua dalam perlumbaan F1 di Grand Prix Monaco.

Pemandu 23 tahun Jerman itu hilang kawalan jentaranya pada pusingan ke-27 lalu melanggar penghadang jalan di litar Monaco itu.

Anak lagenda F1 Michael Schumacher itu tidak mengalami kecederaan yang serius, namun bendera merah terpaksa dikibarkan selepas usaha membersihkan litar ketika bendera kuning dikibarkan tidak berjaya.

Pasukan Schumacher, Haas mengesahkan bahawa pemandunya tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Mick kemalangan di Swimming Pool Chicane. Dia berjaya keluar dari kereta dan dalam keadaan baik,” kata Haas.

Insiden kemalangan ini merupakan kali kedua membabitkan Schumacher pada musim ini selepas kejadian di Arab Saudi.

Perlumbaan yang tertangguh seketika akibat cuaca buruk dimenangi oleh Sergio Perez dari pasukan Red Bull.

Dia juga berjaya menghalang asakan pemandu Ferrari Carlos Sainz yang hanya ketinggalan 1.1 saat di belakang.

Rakan sepasukan Red Bull, pendahulu kejuaraan dan juara dunia Max Verstappen berada di tempat ketiga.

Pemandu tuan rumah Charles Leclerc dari pasukan Ferrari di tempat keempat selepas keliru dengan strategi dua hentian pit menyebabkan dia tercicir dari kedudukan pendahulu.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir