Selepas Kelar Leher Ibu Warga Emas, Lelaki Ini Maut Digilis Lori

Selepas mengelar leher ibunya sehingga meninggal dunia, seorang lelaki yang dipercayai anak mangsa ditemukan meninggal dunia akibat digilis sebuah lori dalam kejadian di Batu 5, Jalan Jeniang-Gurun, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia lingkungan 70-an bekerja sebagai penoreh getah itu ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya dengan kesan kelar di leher sedalam 12 sentimeter.

Malah,  terdapat kecederaan di tangan kanan dan telinga kiri mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Hasil pemeriksaan mendapati, tiada kesan pecah rumah namun polis turut menemui beberapa peralatan menghisap dadah didalam rumah terbabit.

Miliki enam rekod jenayah lampau

Tambahnya lagi, pada masa kejadian polis turut menerima laporan kemalangan maut di Jalan Jeniang-Gurun pada jam 7.30 pagi membabitkan anak kepada mangsa warga emas tersebut.

“Kita percaya kemalangan berlaku setelah suspek meletakkan motosikal dan menerpa ke tengah jalan menyebabkan lori yang sedang bergerak laju tidak sempat mengelak lalu merempuh lelaki itu.

“Polis juga percaya kejadian berpunca daripada pergaduhan. Berdasarkan maklumat yang diterima mengatakan berlaku pertengkaran hampir setiap hari antara dua beranak terbabit akibat desakan minta wang, termasuk malam kelmarin,” katanya.

Selain itu, anak lelaki mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya dan mengalami masalah mental.

Oleh itu, polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes untuk tampil membantu siasatan.

 

 

Sumber: Bernama

Salma Syahbuddin