Aktiviti Sosial Bakal Disekat Jika Kes COVID-19 Makin Meningkat

Aktiviti menyekat kembali aktiviti sosial akan dilaksanakan oleh kerajaan jika berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19 selepas negara beralih ke tahap endemik.

Perkara itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mastura Yazid di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ini kerana, kerajaan hanya menggunakan satu prosedur operasi standard (SOP) apabila negara beralih ke tahap endemik iaitu protokol kesihatan umum.

“Bagaimanapun jika terdapat kes mendadak dan meningkat, kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan memantau dengan sistem ‘heightened alert’ yang mana hanya terdapat dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah.

“Dilihat berisiko tinggi, kerajaan akan mengenakan sekatan aktiviti sosial tetapi bukannya aktiviti ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pelan baharu yang akan dicadangkan kerajaan memandangkan ramai yang mula tidak menjaga SOP, Mastura menjelaskan SOP berkenaan akan diputuskan oleh sebuah jawatan kuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri berdasarkan penilaian yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambahnya lagi, dalam proses peralihan ke fasa endemik, ada beberapa indikator perlu dipenuhi sebelum usaha baharu diperkenalkan.

Ia termasuklah, kadar penggunaan katil keseluruhan mesti kurang daripada 30 peratus, wad rawatan rapi (ICU) kurang 10 peratus dan jumlah Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kurang 30 peratus.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Kes baharu COVID-19 di negara ini kembali lepasi paras 6,000 apabila dilaporkan sebanyak 6,243 kes setakat jam 12 tengah hari ini.

 

Sumber: BH

Salma Syahbuddin