“Selepas Rawatan Ke-4, Kulit Muka Seperti Bersisik…” – Wanita Mengadu Sakit Selepas Jalani Rawatan Drip Pemutih Kulit

Kalau nak cantik, kena tahan sikit.

Demikian jawapan ‘juruterapi estetik’ kepada wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nabela, 34, setiap kali mengadu ‘kesakitan’ selepas menjalani rawatan drip pemutih kulit.

Menurut Nabela, kesan yang berbeza terjadi selepas melakukan empat sesi rawatan yang membuatkan dia berasa tidak selesa.

“Selepas rawatan pertama, saya berasa kebas tangan, panas badan dan sedikit pening kepala.

“Kesan rawatan kedua pula ialah badan kemerahan dan gatal-gatal. Tetapi, saya menahan rasa itu kerana inginkan kulit putih,” katanya.

Selepas rawatan ketiga, bahagian muka, tangan dan peha terasa pijar serta panas.

Juruterapi estetik mengatakan reaksi tersebut merupakan perkara biasa dan kandungan vitamin diselaraskan untuk meningkatkan kesan pada kulit.

“Kesan saya alami selepas rawatan keempat ialah kulit muka seperti ‘bersisik’, kemerahan dan gatal.

“Saya berasa takut dengan tindak balas akan berlaku pada kulit. Saya tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh juruterapi estetik yang hanya mengatakan kesan dialami setiap orang berbeza,”

Wanita itu juga berkata dia kemudian merujuk masalah dialami ke klinik estetik yang lain dan dinasihati supaya berhenti daripada meneruskan prosedur itu kerana tidak bersesuaian dengan dirinya.

“Ini kerana badan saya seperti menolak bahan drip pemutih ini dan bimbang akan memberi kesan buruk kepada kesihatan.

“Saya mencuba rawatan ini kerana inginkan kulit cantik dan cerah seperti rakan sekerja yang pernah menjalani rawatan drip pemutih kulit enam tahun lalu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir