Rugi RM152,500… Lelaki Didakwa Menipu ‘Bakal Isteri’

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menipu seorang wanita yang menyerahkan wang tunai dan barang kemas berjumlah RM152,500.

Namun begitu, Hisyah Sayuti, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Hisyah menipu kerani, Siti Nurdiana Md Sah, 40, memperdayakan mangsa untuk menyerahkan tertuduh wang tunai dan barang kemas untuk perkahwinan tidak wujud.

Kesalahan itu berlaku di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, antara 6 Februari 2022 hingga 6 Mac 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, Hisyah boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta hukuman sebat.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memberi tawaran ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Namun, tertuduh memohon wang jaminan untuk dikurangkan kerana hanya membuat kerja kampung dan pendapatannya tidak tetap.

Hakim memutuskan jumlah wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes akan diadakan pada 25 Mei depan.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir