“Saya Tidak Didatangi Oleh Sesiapa…” – Debat Najib & Anwar Tidak Ada Libatkan Kerajaan, Kata Menteri K-KOMM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) tidak ada berjumpa mana-mana pihak berkaitan platform penyiaran debat perdana antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikhabarkan akan berlangsung pada 12 Mei.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa mengatakan perkara itu tidak ada kena-mengena dengan kerajaan dan menganggap sebagai debat antara dua individu.

“Jadi kerajaan tidak campur dan saya pun tidak didatangi oleh sesiapa. Saya fikir ia masih lagi di peringkat antara dua individu,” katanya ketika menghadiri Majlis Iftar MenKOMM bersama komuniti Negeri Melaka semalam.

Annuar juga mengatakan tiada halangan tentang penggunaan media sosial atau platform digital terkini untuk dijadikan platform penyiaran debat tersebut.

“Teknologi sekarang boleh saja buat ‘live’ dan mungkin ada stesyen televisyen yang hendak memberi platform itu. Apa pun, itu kemudianlah. Tak boleh kata mungkin (boleh) sebab mungkin itu dah jadi satu janji (untuk disiarkan di platform kerajaan). Saya anggap ia debat biasa antara dua individu,” katanya.

Bernama melaporkan bahawa kedua-dua tokoh politik negara itu akan membincangkan isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan masa depan Malaysia pada 12 Mei dalam program debat perdana.

Pengumuman debat itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dalam satu sidang media petang semalam.

Setakat ini, maklumat mengenai debat perdana itu akan disiarkan secara langsung sama ada menerusi saluran media diumumkan kemudian atau secara fizikal di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaysia, Kuala Lumpur pada jam 9.00 malam.

Sumber: Astro Awani

Kredit foto: Malaysia Gazette

Maya Basir