‘Tanda Harga’ Safawi Rasid Kini Cecah RM1.5 Juta?

Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid, antara pemain bola sepak yang menunjukkan trend peningkatan ‘sahamnya’ apabila dia kini diletakkan sebagai pemain dengan’ tanda harga’ sebanyak €325,000 bersamaan RM1.5 juta oleh laman rasmi transfermarkt.com.

Difahamkan, jumlah pasaran itu adalah tanda harga tertinggi pernah di diberikan terhadap Safawi sepanjang kerjaya bola sepaknya.

Malah, nilai pasaran bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga dijangka akan terus meningkat susulan prestasi yang dipamerkan sepanjang Piala AFF 2020 bersama Harimau Malaya.

Menurut Pengasas bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar, antara faktor penyumbang kepada peningkatan nilai pasaran pemain termasuklah prospek masa depan, usia, tahap liga, persembahan bersama kelab dan pasukan kebangsaan, pengalaman serta nilai pemasaran.

Sebelum ini, nilai pasaran Safawi menurun ke €200,000 (RM950,000) pada kemas kini yang dilakukan 30 Disember 2020 yang mana selepas dia dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense.

Namun, nilai pasaran anak muda ini naik semula kepada €300,000 (RM1.4 juta) pada kemas kini yang dibuat 30 Jun 2021 selepas dia kembali semula ke pangkuan Harimau Selatan.

Terdahulu, Safawi berkongsi kedudukan teratas penjaring terbanyak bersama dua bintang Thailand, Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda dan pemain Filipina, Bienvenido Maranon.

 

 

Sumber : BH, transfermarkt.com

Salma Syahbuddin