Varian Baharu COVID-19 Dikesan, Dipercayai Bilangan Mutasi Lebih Tinggi – Pakar

Varian yang dinamakan B.1.1.529 adalah sejenis varian baharu yang dikesan di tiga buah negara setakat ini.

Varian yang dipercayai mempunyai daya tahan yang tinggi ataupun lebih kebal untuk melawan vaksin ini dipercayai memiliki 32 mutasi sekaligus membolehkannya menjangkiti individu yang telahpun lengkap dua dos suntikan.

Pakar Virologi, Tulio de Oliveira berkata, varian itu kini dikesan di Botswana dan Hong Kong, membabitkan pengembara dari Afrika Selatan, dan ia sekaligus meningkatkan potensi bahawa penumpang lain yang berada bersama individu tersebut di dalam pesawat berkenaan juga mungkin dijangkiti.

Sehingga kini, Institut Nasional Penyakit Berjangkit (NICD) melaporkan 22 kes positif daripada varian B.1.1.529 direkodkan berdasarkan penjujukan genom.

Manakala, menurut World Health Organisation (WHO), pihaknya kini sedang memantau dengan teliti varian yang dilaporkan dan dijangka mengadakan mesyuarat teknikal bermula 26 November 2021 bagi menentukan sama ada ia adalah varian mendapat perhatian (VOI) atau varian membimbangkan (VOC).

“Analisis awal menunjukkan varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi yang memerlukan kajian lanjut,” katanya.

 

Sumber : BH, Kosmo

Salma Syahbuddin