Categories: Trending

Usia separuh abad, JLo dan Shakira masih memukau!

Sejak kelmarin penghibur terkemuka Jennifer Lopez dan Shakira menjadi tajuk utama media di seluruh dunia gara-gara persembahan ikonik lagi memukau yang dipersembahkan dua ratu dansa ini pada acara Pepsi Super Bowl LIV Halftime Show.

Persembahan secara langsung di Hard Rock Stadium, Miami, Florida itu bukan saja full house dengan kehadiran 100,000 penonton, tetapi juga menjadi trending di seluruh dunia. Gabungan epik dua penyanyi Latina paling berpengaruh itu turut mendapat pujian selebriti antarabangsa juga tempatan.

Foto: LARRY W SMITH

Persembahan pentas yang hebat daripada Jennifer Lopez atau gelaran pentasnya, JLo dan Shakira mempamerkan kuasa wanita serta kualiti yang tinggi sebagai penghibur, namun apa yang paling penting kedua-dua wanita jelita itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mereka menampilkan persembahan sebegitu rupa.

JLo yang tidak pernah menyembunyikan usianya yang sudah melewati 50 tahun, tampil cukup bertenaga, manakala Shakira yang kini mencecah usia 43 tahun juga tidak kurang hebat sepanjang persembahan berkenaan.

Pada usia sebegitu, wanita kebanyakannya sudah tidak lagi bertenaga dan badan menggelebeh sana sini, sebaliknya dua wanita itu begitu energetik sehinggakan mampu menyanyi sambil menari tanpa pancit!

Tentunya saja jawapannya, adalah disiplin daripada rutin harian yang dijalani mereka. Anda boleh melihat ab lines kedua-dua penyanyi itu dengan jelas!

Untuk mendapatkan ab lines sebegitu, memerlukan konsistensi dalam melakukan rutin senaman terutama senaman abdomen, namun untuk mendapatkan abdomen yang kemas dan padat seperti kedua-dua penyanyi itu tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat.

Selain itu, kekuatan vokal Jlo dan Shakira pada malam itu semestinya hasil latihan vokal yang menyempurnakan lagi persembahan mereka.

Foto: Newsweek

Berbalik pada persembahan dua figura seni antarabangsa itu, pentas dibuka menerusi segmen nyanyian Shakira yang membawakan lagu She Wolf serta medley daripada sejumlah lagu popular yang ditutup dengan Hips Don’t Lie.

Shakira yang meraikan ulang kelahirannya ke-43 pada persembahan bersejarah itu hadir dengan gaun mini rumbai warna merah keunguan.

Tidak lama kemudian, JLo muncul dengan jumpsuit hitam rekaan Versace yang membangkitkan nostalgia dengan lagu Jenny From the Block diikuti beberapa lagu yang turut menampilkan aksinya melakukan tarian tiang (pole dancing), seperti wataknya dalam filem Hustlers.

Foto: Refiney

Persembahan penyanyi yang juga terkenal sebagai pelakon itu diteruskan dengan persalinan baju apabila JLo mengganti busananya dengan jumpsuit warna perak juga rekaan Versace dan meneruskan aksi dengan lagu Love Don’t Cost a ThingGet Right, On the Floor serta Que Calor.

Sebagai kejutan, Shakira dan JLo juga menampilkan rapper J Balvin dan Bad Bunny. Tambah mengujakan, JLo turut beraksi dengan puteri kesayangannya, Emme yang tampil untuk menyanyikan Let’s Get Loud. Gadis berusia 11 tahun itu kemudian menyanyikan lagu Bruce Springsteen iaitu Born in the USA dengan JLo muncul mengenakan jubah dwifungsi yang menampilkan bendera Amerika Syarikat (AS), namun apabila beliau mendepangkan tangannuya, jubah berkenaan kelihatan seperti bendera Puerto Rico.

Sebagai penutup, JLo dan Shakira hadir dengan membawakan lagu popular mereka On the Floor dan Waka Waka.

Persembahan hebat yang berlangsung selama 15 minit itu meraih pujian daripada beberapa selebriti terkenal AS seperti Lady Gaga dan Kim Kardashian yang membuat komen di Twitter menerusi akaun pribadi mereka.

“@JLo dan @Shakira dan seluruh penampilan istimewa sangat luar biasa. Sebuah penampilan separuh waktu yang amat menyenangkan, saya menari dan tersenyum sepanjang waktu. Wanita hebat yang seksi, sama ada di depan kamera mahupun di luar. Sayang kamu berdua wanita cantik, seksi dan berbakat,” tulis Gaga.

“Mereka benar-benar membuatkan semua ternganga! Sekalung tahniah atas persembahan hebat SuperBowl Halftime Show @shakira @JLo,” tambah Kim Kardashian.

 

Yanie Baharom