Categories: Trending

‘ Ya, saya sudah tewas dan saya akur keputusan rakyat,’ – Najib Razak

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuat naik klip video di Facebooknya memaparkan luahan hati beliau berhubung tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya, sebentar tadi.

Menerusi rakaman berdurasi dua minit 20 saat itu, beliau memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan menganggap tindakan penahanannya sebagai dugaan dunia.

“Assalamualaikum, rakyat Malaysia yang dikasihi, sekiranya saudara saudari mendengar mesej ini, maknanya tindakan sudah pun mula diambil ke atas saya.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia berhak mendapat pimpinan yang terbaik. Saya sudah melakukan sedaya upaya saya, namun saya sedar ia tidak mencukupi kerana saya akui ada banyak kelemahan,” katanya.

Dalam klip video yang dipercayai dirakam sebelum penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi, Najib berkata beliau mengakui dirinya hanya insan biasa dan tidak sempurna, namun tidak semua tuduhan dikenakan kepadanya adalah benar.

“Memang rumah kami digeledah selama berhari-hari. Saya disiasat dan ada barang dirampas, namun ini semua belum konklusif.

“Ada banyak berita, gambar yang tersebar bersifat palsu, khabar angin, putar belit dan fitnah. Biarlah siasatan dijalankan dulu kerana saya belum berpeluang untuk mempertahankan diri saya.

“Ya, saya sudah tewas dan saya akur keputusan rakyat serta sedar bahawa kekalahan ini juga bermakna saya terdedah kepada lebih banyak tohmahan yang dahsyat,” katanya.

Menurutnya, apa yang dihadapinya ketika ini adalah dugaan dunia dan reda menempuhinya.

“Sememangnya semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan bukan saja di dunia tapi juga balasan di akhirat.

“Tiada sesiapa yang akan terlepas termasuk sang penguasa di dalam kerajaan hari ini dan mereka yang menyebar khabar angin serta mengaibkan orang lain.

“Saya terima bahawa hari ini adalah hari saya dan keluarga menjalani dugaan dunia, saya tetap bersyukur kerana tidak semua yang berpeluang menjalani dugaan dunia.

“Kita semua tahu bahawa dugaan di akhirat adalah jauh lebih perit dan saya akan hadapi dengan tabah kerana Allah SWT maha mengetahui, maha mengasihani dan maha penyayang,” katanya. 

SGMS Faida