Euforia Bola 2026
Hiburan By: Padin June 9, 2026 @ 7:37pm

Ulasan Konsert: Karya Kak Pah Terus Hidup, A Tribute to Sharifah Aini Jadi Malam Penuh Nostalgia

Ada konsert yang sekadar mempersembahkan lagu-lagu lama. Ada juga konsert yang berjaya menghidupkan semula aura seorang legenda. A Tribute to Sharifah Aini oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada Sabtu lalu tergolong dalam kategori kedua.

Sejak alunan pembukaan Overture Burung Pungguk bergema memenuhi ruang DFP, penonton seolah-olah dibawa kembali ke era kegemilangan Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.

Susunan muzik yang megah dan sinematik memberi gambaran jelas malam itu bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah penghormatan yang disusun dengan penuh teliti dan rasa hormat terhadap legasi seni yang ditinggalkan.

Di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose, MPO berjaya memberikan nafas baharu kepada karya-karya ikonik Sharifah Aini yang mesra disapa Kak Pah tanpa menghilangkan identiti asal yang menjadikan lagu-lagu tersebut begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

Asmidar memikul tanggungjawab besar membuka segmen vokal menerusi Seri Dewi Malam, lagu hit pertama Sharifah Aini. Penyampaiannya sederhana tetapi cukup berkesan. Tidak cuba meniru gaya asal Biduanita Negara, sebaliknya memilih pendekatan tersendiri yang lebih lembut dan kontemporari dengan vokalnya yang lemak merdu.

Medley Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah dan Gunung Banang pula menjadi antara detik yang memperlihatkan kekuatan susunan orkestra malam itu. Lagu-lagu tradisional yang sudah sebati dengan masyarakat Melayu diberikan sentuhan lebih besar dan dramatik tanpa kehilangan keindahan asalnya.

Babak kedua menyaksikan Asmidar kembali menerusi medley Kekasih Pujaan, Di Malam Persandingan, Oh Di Mana, Yang Ditunggu Tak Tiba dan Surat Dari Seberang. Segmen ini mungkin antara yang paling menyeronokkan kerana berjaya mengingatkan penonton kepada era pop Melayu yang pernah mendominasi radio suatu ketika dahulu.

Jika ada seorang penyanyi yang mampu berdiri di atas pentas dan membuatkan penonton terpaku hanya dengan vokal dan karisma, figura itu ialah Salamiah Hassan.

Persembahan Tiada Maaf Bagimu dan Kenang Daku Dalam Doamu membuktikan mengapa namanya masih relevan selepas puluhan tahun dalam industri. Setiap frasa disampaikan dengan penuh kawalan dan emosi.

Namun kemuncak penampilannya hadir menerusi medley Inggeris Forever And Ever, Will You Still Love Me Tomorrow dan I Have A Dream.

Segmen ini mengingatkan penonton bahawa Sharifah Aini bukan hanya ikon muzik Melayu, malah pernah cemerlang membawakan lagu-lagu Inggeris. Salamiah berjaya mengekalkan elemen nostalgia sambil menyuntik identitinya sendiri sebagai seorang penghibur berkelas dunia.

Antara penyanyi yang paling dinanti malam itu tentunya Shiha Zikir, anak didik Biduanita Negara itu dalam program Mentor terbitan TV3 pada 2011.

Membawakan Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung bukan tugas mudah kerana kedua-dua lagu itu sinonim dengan kekuatan vokal Sharifah Aini.

Shiha memilih untuk tidak meniru, sebaliknya menyuntik elemen emosinya sendiri. Walaupun pada mulanya Shiha sebak kerana terkenang penyanyi yang dipanggil Ummi sebelum menyampaikan lagu Bunga Tanjung, keberanian dan keikhlasan persembahannya harus diberikan pujian.

Medley Cahayamu Cahayaku, Seribu Mawar dan Ingatan Manis Di Bulan September pula memperlihatkan sisi Shiha yang lebih santai dan menyerlah. Interaksinya bersama orkestra dan keletah lucu dengan penonton menjadikan segmen tersebut antara yang paling hidup sepanjang malam.

Kemunculan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai penyanyi terakhir membawa perubahan tenaga yang ketara.

Hapuslah Airmatamu disampaikan dengan penuh jiwa dan kematangan seorang penghibur berpengalaman. Namun yang benar-benar mencuri perhatian ialah medley Terbang Helang, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Rindu.

Di sinilah kekuatan vokal Khadijah benar-benar terserlah. Setiap nota tinggi dilontarkan dengan yakin dan bertenaga, mengingatkan penonton mengapa beliau kekal sebagai antara vokalis wanita terbaik negara walaupun sudah berusia 67 tahun.

Kuda Ku Lari pula menjadi penutup sempurna. Penonton gamat dan sama-sama menyanyi, menarik suara untuk menyampaikan lagu ikonik itu.

Encore Seiring Sejalan nyanyian empat penyanyi itu menjadi karya yang menyatukan semangat malam penghormatan tersebut dalam satu persembahan penuh emosi.

Walaupun konsert ini menampilkan empat penyanyi hebat, bintang sebenar malam itu sebenarnya ialah MPO.

Susunan muzik oleh Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri, Luqman Aziz dan Ahmad Muriz berjaya memberi dimensi baharu kepada lagu-lagu yang sudah puluhan tahun dikenali.

Ada kalanya susunan tersebut terasa seperti runut bunyi filem epik. Ada masanya pula cukup halus dan intim sehingga membenarkan lirik mengambil peranan utama.

Inilah yang menjadikan A Tribute to Sharifah Aini lebih daripada sekadar konsert nostalgia.
MPO berjaya menghasilkan sebuah penghormatan yang bermaruah, elegan dan penuh rasa hormat terhadap legasi Biduanita Negara.

Ia bukan tentang mencari pengganti Sharifah Aini kerana hakikatnya tiada siapa mampu menggantikan tempatnya. Sebaliknya, konsert ini menjadi bukti bahawa karya-karya yang ditinggalkan masih hidup, masih relevan dan masih mampu menyentuh hati generasi hari ini.

Lebih sedekad selepas pemergiannya, suara Sharifah Aini mungkin sudah tidak bergema di pentas, tetapi lagu-lagunya terus hidup menerusi persembahan seperti ini.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Wed, 2 May 2018

Takut Dipanggil Gemuk, Tengok Apa Kanye West Buat

Ibu Kanye, Donda West meninggal dunia pada tahun 2007 akibat komplikasi selepas mengalami pembedahan plastik termasuk liposuction.

Hiburan Fri, 29 Nov 2024
Hiburan Sun, 23 Feb 2025

Nadin Amizah Bawa ‘Malam Mendengar’ Ke Kuala Lumpur

Tak sabar nak tunggu Nadin Amizah!

Hiburan Sat, 18 Aug 2018

Pergi Tak Kembali… Al-Fatihah Buat Penyanyi Azreen Manan

Menurut Shah, Allahyarham yang berusia 41 tahun menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang di sisi keluarga dan sahabat terdekatnya.

Hiburan Thu, 8 Jun 2023
Hiburan Thu, 28 Mar 2019

Janna Nick Mendapat Perhatian Netizen Hanya Kerana ‘Posing’

Janna mungkin perlu lebih berwaspada sebelum memuat naik gambar di media sosial.

Hiburan Tue, 18 Dec 2018

Jelajah Tiga Negara, Siti Nurhaliza Ajak Penonton Imbau Kenangan Lama

Pengarah muzik iaitu Aubrey Suwito akan memimpin susunan lagu dengan memilih sendiri para pemuzik yang bakal mengiringi konsert jelajah tiga negara ini.

error: Content is protected !!