Acara By: tex_admin August 30, 2019 @ 5:01pm

Siapakah bakal dinobatkan Penyanyi Lelaki, Wanita dan Artis Duo Popular ABPBH 32?

Disediakan oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah 

Sejak diperkenalkan lebih tiga dekad lalu, ABPBH 32 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini menyaksikan kategori penyanyi sering mengungguli Anugerah Bintang Paling Popular. Selain Datuk Siti Nurhaliza yang pernah memenangi kategori itu sebanyak tujuh kali, beberapa penyanyi lain turut berada dalam senarai itu seperti Ramlah Ram (1988), Search (1989), Aishah (1990), Zainal Abidin (1991), M Nasir (1994), Ziana Zain (1995) penyanyi Asmawi Ani atau Mawi (2005, 2006 dan 2007) dan terakhir, Wany Hasrita (2018).

Tidak hairanlah, Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow antara kategori yang hangat diperkatakan sejak senarai lima selebriti akhir bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 diumumkan.

Tahun lalu, Wany Hasrita bukan saja memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular, tetapi juga membuat kejutan apabila dumumkan penerima Bintang Paling Popular. Sekali lagi tersenarai dalam ABPBH tahun ini, mampukah beliau mempertahankan gelarannya atau mungkinkah tuah berpihak kepada Khai Bahar yang dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular tahun lalu,merampas gelaran itu.

Penyanyi Lelaki Popular DuitNow

Kategori ini dilihat sengit apabila penyanyi hebat Faizal Tahir kembali disenaraikan, namun mampukah beliau mengatasi penyanyi muda yang mempunyai ramai pengikut dalam media sosial seperti pemenang tahun lalu, Khai Bahar ataupun Haqiem Rusli, Syafiq Farhain dan Sufian Suhaimi yang mencipta fenomena sepanjang tahun lalu.

 

Faizal Tahir, Top 5 Penyanyi Lelaki Popular                                                      Foto: NSTP/Nurul shafina jemenon

Faizal Tahir, bintang kelahiran program One in a Million musim pertama juga seorang komposer dan penulis lagu yang dikenali ramai. Kejayaan album pertamanya, Aku.Muzik.Kamu berjaya melonjakkan namanya dan sejak itu membuktikan beliau bukan saja popular, tetapi juga penyanyi terbaik apabila memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah ERA, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu. 

Tidak lupa juga, Khai Bahar yang dikenali dengan gelaran King of Smule dalam kalangan peminatnya. Mula dikenali melalui nyanyian beliau yang menjadi perhatian ramai kerana lagu bernada tinggi Ziana Zain, beliau kini mengorak langkah lebih jauh dalam industri apabila berjaya memenangi dua kategori dalam ABPBH ke-30 iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.

Sufian Suhaimi, Top 5 Penyanyi Lelaki Popular
Foto: NSTP/Mahzir Mat Isa

Selain itu, Sufian Suhaimi yang berjaya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Books of Records melalui lagu Di Matamu apabila memperoleh jumlah tontonan muzik video tertinggi di Youtube bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan turut disebut-sebut mampu memenangi kategori itu. Beliau memenangi Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu menerusi lagu berkenaan da sejak itu video ketika menyanyikan lagu itu dalam AJL menjadi tular.

Haqiem Rusli memulakan kerjayanya sebagai penyanyi ketika berusia 10 tahun selepas menyertai pertandingan nyanyian kanak kanak Idola Kecil pada tahun 2008. Beliau menjadi tular kerana gimik beliau mengalami kemurungan sehingga ingin menamatkan kerjayanya sebagai penyanyi. Walaupun belum memenangi sebarang anugerah, beliau mungkin mampu mencipta keajaiban dalam kategori ini.  

Seorang lagi calon yang tersenarai dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, Syafiq Farhain juga tidak kurang hebat. Anak kelahiran Terengganu yang juga anak penyanyi terkenal, Allahyarham Saleem memulakan kerjayanya sebagai penyanyi apabila aktif menyanyi menggunakan aplikasi Smule. Beliau juga pernah memenangi tempat kedua pertandingan nyanyian Big Stage

Penyanyi Wanita Popular DuitNow

Kategori Penyanyi Wanita Popular yang pernah dimonopoli oleh penyanyi nombor satu di Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, kini terbuka apabila Siti mengambil keputusan untuk menarik diri daripada pencalonan bagi membolehkan lebih ramai pelapis penyanyi wanita mencipta nama.

Kejayaan Wany Hasrita meraih kategori berkenaan tahun lalu, membuatkan ramai tertanya-tanya mampukah beliau mengulangi kejayaannya, lebih-lebih lagi apabila beliau berjaya memenangi Anugerah Bintang Paling Popular dalam ABPBH 31.

Stacy, Top 5 Penyanyi Wanita Popular
NSTP/Aswadi Alias

Selain Wany, seorang lagi penyanyi yang pernah memenangi kategori berkenaan pada tahun 2013, Stacy bakal mempertaruhkan lagu terbarunya, Khayal bagi mencuri perhatian dalam ABPBH kali ini. Juara rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim ke-6 yang baru itu kembali penuh bergaya selepas berehat apabila melahirkan anaknya. 

Ara Johari, anak kelahiran Negeri Sembilan mula meraih populariti menerusi rancangan nyanyian Akademi Fantasia dan merangkul tempat keempat, namun beliau mula dikenali apabila single pertamanya iaitu Warkah Untukku melonjak naik. 

Siti Nordiana, Top 5 Penyanyi Wanita Popular NSTP/Mahzir Mat Isa

Siapa yang tidak kenal dengan Siti Nordiana, juara Gegar Vaganza musim kedua? Beliau pernah merangkul beberapa anugerah antaranya Penyanyi Wanita Popular, ABPBH ke-30 dan kategori Penyanyi Meletop dalam Anugerah Meletop. Nama Siti Nordiana disebut-sebut mencipta kejutan bukan saja merampas kembali anugerah berkenaan, tetapi juga mungkin anugerah utama iaitu Bintang Paling Popular.

Lama menyepi diri, seorang lagi calon dalam kategori ini Aishah kembali mewarnai dunia seni apabila menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ke-4 bagi menghilangkan kerinduan peminatnya. Beliau pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 1995 dan merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular dua tahun berturut-turut dalam ABPBH 1991 dan 1992 dan mengungguli Bintang Paling Popular pada tahun 1990.

Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular

Jika sebelum ini, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular dimenangi oleh Syamel dan Ernie Zakri, bagaimana pula dengan tahun ini? 

Top 5 Artis Duo Popular
Foto: iluminasi.com

Dia Semanis Honey, drama gandingan Alif Satar dan Siti Nordiana yang berjaya mendapat tempat di hati peminat dan penonton mungkin membawa tuah kepada gandingan itu. Berikutan keserasian mereka berdua, Nana dan Alif kembali bergandingan menerusi drama bersiri Klik! Pengantin Musim Salju. Mereka juga berduet untuk lagu tema drama bersiri terbabit bertajuk Sebenarnya yang berjaya memikat hati peminat.

Selain itu, calon lain antaranya gandingan Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang mempertaruhkan lagu Haram. Lagu yang membawa kejayaan kepada pasangan itu dalam Anugerah Juara Lagu 33 dijangka bakal memberi laluan mudah untuk mencuri undi dalam ABPBH.

 

Top 5 Artis Duo Popular
Foto: kasihjuju.com

Gandingan Floor 88 dan Baby Shima menerusi lagu Roadblock Hatiku berjaya membawa mereka tercalon dalam Top 5 Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular dalam ABPBH KE-32. Floor 88 merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan yang ditubuhkan pada tahun 2007. Mereka mula dikenali apabila lagu pertama mereka Zalikha meningkat naik, manakala Baby Shima, artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Indonesia, Nagaswara. Populariti lagu terbaru, Pulang membuatkan sesetengah pihak tertanya-tanya siapakah penyanyi di sebalik lagu terbabit. 

Imsomniacks, yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Sony Music Malaysia semakin hari semakin mendapat tempat di hati peminat dan mencatat pencapaian hebat apabila dicalonkan dalam kategori Band Terbaik pada Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Singapura. 

Selepas lagu Luluh, Khai Bahar muncul dengan lagu terbarunya tetapi bukan versi single sebaliknya versi duet bersama Fatin Husna. Kedua-duanya merupakan artis baharu yang muncul dengan aplikasi Smule. Fatin Husna atau lebih dikenali dengan gelaran Una mendapat hampir sejuta tontonan di Youtube melalui lagu single pertamanya iaitu Terlepas Cinta. 

Siapa pilihan anda? Jangan lupa mengundi artis kesayangan anda menerusi laman sesawang www.abpbh.com.my. Undian bermula dari 15 Julai hingga 15 September dan pengundi boleh membuat undian secara pukal dalam DuitNow. 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Wed, 18 Jul 2018

Filem Pulang Menggabungkan Sejarah Malaya Dengan Kisah Cinta Agung

Wow! Dua elemen hebat! Mesti tengok di pawagam!

Acara Fri, 13 Apr 2018

Jom Pi Gegaria Fest Di Amanjaya Mall, Sungai Petani Ahad Ini. Super Happening!

Rugi kalau tak pi sebab banyak booth serta aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sana sepanjang hari. Gerenti memang tak bosan!

Acara Mon, 13 Feb 2023
Acara Tue, 26 Nov 2019
Acara Fri, 26 Aug 2022
Acara Mon, 29 Apr 2019

Bengkel i-Skil Hijab & Heels bantu wanita jana pendapatan sampingan

Kursus asas kemahiran mampu tingkatkan ekonomi keluarga

Acara Fri, 29 Sep 2023

Meriahnya! Lebih 20 Makanan Viral… Jom Ke Top Viral Food Festival Di Sunway Putra Mall

Wow! Menariknya..Jom ke Top Viral Food Festival di Sunway Putra Mall hujung minggu ni

Acara Fri, 5 Jul 2019

Haagen-Dazs perkenal dua perisa baharu lebih mengancam

Promosi aiskrim percuma Häagen-Dazs Cool Wheels