Featured By: tex_admin November 11, 2019 @ 11:25am

Pengkaji temui formula baharu kesan kanser payudara lebih awal

Oleh Amnan Hibrahim

Kanser payudara adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat sekiranya dikesan  pada peringkat awal, namun ketiadaan simptom dan tanda yang jelas pada peringkat awal penyakit berkenaan menyebabkan ramai mangsa tidak menyedari bahaya yang mereka hadapi.

Hal ini diburukkan lagi dengan kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat akan kepentingan menangani bahaya penyakit ini. Dalam satu penyelidikan yang dilakukan terhadap wanita Malaysia, pengkaji mendapati penghalang utama mereka daripada mendapatkan pemeriksaan mammogram adalah kerana faktor kesuntukan masa untuk melakukan pemeriksaan berkenaan, diikuti dengan faktor kurangnya kesedaran.

Selain daripada faktor ketiadaan masa untuk melakukan pemeriksaan berkala untuk mengesan kanser payudara, kesedaran yang masih rendah juga turut menjadi faktor utama kegagalan untuk mendapatkan rawatan yang berkesan bagi penyakit berkenaan. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

Oleh itu, sebarang penemuan dan juga kemajuan dalam aspek perawatan serta pencegahan kanser payudara untuk memudahkan mangsa melakukan ujian pengesanan awal dan rawatan adalah sesuatu yang sangat diperlukan untuk mengatasi penyakit ini. Hal ini kerana pengesanan awal kanser payudara adalah langkah yang sangat penting dalam proses rawatan penyakit berkenaan.

Baru-baru ini, sekumpulan pengkaji daripada University Nottingham menemukan satu formula baharu dalam usaha untuk mengesan sel kanser payudara dalam tubuh manusia.

Dalam kajian berkenaan, ujian darah yang dilakukan dengan menggunakan sejenis bahan pengesan yang spesifik didapati berupaya mengesan kanser payudara dengan lebih mudah dan efektif.

Secara biologinya, badan manusia yang memiliki sel kanser akan menghasilkan antigen yang berperanan mengakifkan sistem tindak balas imun di dalam tubuh. Seterusnya, sistem imun berkenaan akan menghasilkan sejenis autoantibodi yang cuba untuk melawan sel kanser tersebut.

Jururawat melakukan ujian darah pada program pemeriksaan jantung anjuran Institut Jantung Negara di Balai Berita Jalan Riong. NSTP/SYAKIRAH AZHAR.

Oleh hal yang demikian, pengkaji berpandangan kehadiran autoantibodi yang terhasil daripada kewujudan sel kanser itu dapat dikesan melalui ujian darah dan seterusnya membantu dalam mengesan sel kanser payudara di dalam tubuh seseorang.

Sehubungan itu, pengkaji  membangunkan sejenis panel tumor-associated antigens (TAAs) yang dibina khusus untuk mengesan autoantigen di dalam darah yang bertindak balas dengan kewujudan kanser payudara dalam proses pengujian darah.

Ketepatan ujian darah untuk mengesan kanser payudara

Dalam kajian itu, kaedah pengesanan autoantibodies dilakukan dengan menggunakan dua jenis panel TAAs: 40 TTAs untuk mengesan autoantibodies yang berkaitan dengan sel kanser dan 27 TAAs untuk autoantibodies yang tidak mempunyai kaitan dengan penyakit berkenaan.

Ujian yang dijalankan terhadap 90 orang pesakit kanser payudara dan 90 orang bukan pesakit kanser mendapati autoantibodies yang terhasil akibat tindak balas kanser payudara memberikan reaksi kepada panel TAAs yang spesifik.

Justeru, penemuan tersebut berjaya membuktikan akan kemampuan panel TTAs untuk digunakan dalam proses mengenalpasti kewujudan sel kanser payudara di dalam tubuh pesakitnya.

Menurut pengkaji, ujian darah yang dilakukan itu bukan sahaja berupaya mengesan kanser dengan lebih tepat, malahan inovatif terbaharu ini turut berupaya mengesan penyakit berkenaan dalam tempoh lima tahun sebelum simptom kanser memberikan kesan terhadap pesakit.

Ujian mammogram adalah ujian lazim yang digunakan bagi mengesan kewujudan sel kanser payudara di dalam tubuh seseorang. Foto: Beacon Hospital

Tambahan pula, proses pengesanan kanser payudara melalui ujian darah juga didapati lebih murah berbanding kaedah sedia ada seperti mammogram.

Kumpulan berkenaan berpendapat masa yang diperlukan bagi menyempurnakan kaedah terbaharu pengesanan kanser payudara memerlukan antara empat ke lima tahun kerana ujian tersebut perlu dilakukan terhadap kumpulan sampel yang lebih besar bagi memastikan ketepatan yang lebih tinggi.

Di samping itu, penggunaan ujian darah untuk mengesan sel kanser turut sedang dibangunkan bagi penyakit kanser jenis lain seperti, kanser paru-paru, pankreas, hati dan kolorektum.

Sumber: Medical News Today

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Sihat Wed, 16 Jan 2019
Featured Thu, 1 Dec 2022
Featured Mon, 26 Apr 2021

“Makan Je Depan Saya Bulan Puasa, Perkara Itu Tidak Biadab” – Izara Aishah

Isu golongan wanita yang uzur (tidak dapat berpuasa) dan makan secara terbuka di khalayak menjadi perbincangan hangat di laman sosial. Berikutan tular rakaman Tiktok seorang wanita yang tidak berpuasa dan makan secara terbuka ramai yang […]

Featured Fri, 30 Sep 2022
Featured Thu, 23 Sep 2021