familuv By: Fadzlena Jafar March 23, 2020 @ 5:40pm

Balu boleh buat tuntutan harta sepencarian, ini caranya

Kebanyakan wanita sering hilang punca apabila suami meninggal dunia sehingga ada yang hidup dalam serba kepayahan untuk mencari rezeki bagi diri dan anak-anak sementara menunggu pembahagian harta secara faraid dilakukan.

Ada kalanya, hidup mereka menjadi lebih sukar apabila bahagian harta anak-anak yang masih kecil diuruskan ahli keluarga suami.

Bagaimanapun, peguam dan aktivis masyarakat, Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata balu boleh menuntut harta sepencarian terlebih dahulu sebelum prosedur pembahagian harta secara faraid dilaksanakan bagi memudahkan urusan harian.

Khairul Anwar Rahmat. Gambar. (Gambar NSTP/ Munira Ghani)

Katanya, ramai menganggap harta sepencarian hanya boleh dituntut ketika berlaku perceraian atau suami berpoligami, sedangkan ia juga boleh dilakukan apabila suami meninggal dunia.

“Isteri ada hak ke atas harta sepencarian memandangkan si isteri sudah melaksanakan tanggungjawab menjaga keperluan suami, makan pakai serta ketenangan fikiran buat suami keluar mencari rezeki dengan tenang.

“Bagaimanapun, ramai wanita tidak tahu bahawa mereka boleh menuntut harta sepencarian sebaik suami meninggal dunia. Perkara ini perlu dilakukan sebelum pembahagian harta secara faraid dilakukan,” katanya kepada Hijab & Heels.

Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang, Perak, Selangor, Perlis dan Kelantan mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan pula mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh suami isteri sama ada secara langsung atau secara tidak langsung ketika perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 perkara perlu diurus selepas berlaku kematian

Wanita perlu tahu hak mereka terutama apabila kematian suami (Gambar hiasan REUTERS/Anushree Fadnavis)

Khairul Anwar berkata, pembahagian harta sepencarian adalah antara tiga perkara yang perlu diuruskan pentadbir harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia dengan menggunakan harta si mati.

“Apabila suami meninggal dunia, pentadbir atau wasi yang dilantik perlu mendahulukan tiga perkara daripada harta peninggalan si mati iaitu untuk urusan jenazah, melunaskan hutang si mati dan menguruskan harta pusaka membabitkan pesanan si mati, pembahagian wakaf, infaq atau wasiat dan harta sepencarian.

“Baki daripada harta peninggalan itu jika ada barulah boleh dibahagikan mengikut faraid untuk pihak yang ditetapkan dalam Hukum Syarak,” katanya.

Pembahagian harta sepencarian boleh dibahagikan berdasar tiga perkara berikut:

Isu 1

  • Seorang itu berkahwin dan pada masa itu dia dan isterinya tidak mempunyai harta. Selepas berkahwin dengan usaha mereka bersama, mereka memperolehi harta.
  • Harta sedemikian hendaklah dibahagi dua, justeru balu akan mendapat separuh bahagian.

Isu 2.

  • Seseorang berkahwin dan ketika itu suami isteri itu tidak mempunyai harta. Selepas berkahwin mereka memperolehi harta, tetapi bukan dengan usaha bersama, misalnya suami berniaga, manakala isteri lebih ringan kerjanya berbanding suami.
  • Harta sedemikian hendaklah dibahagi tiga; dua bahagian untuk suami dan satu bahagian untuk isteri, justeru balu akan memperoleh 1/3 bahagian.

Isu 3

  • Jika ada adat yang mengikatnya, satu pihak itu memberi sumbangan melebihi sumbangan pihak lain, pembahagian itu hendaklah dibuat berasaskan adat itu.
  • Jika kedua-dua pihak tidak bersetuju, pembahagian hendaklah dibuat mengikut prinsip (1) dan (2) di atas.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 30 Aug 2022

Disaran Ambil Dadah & Difitnah Kutip Sampah Dengan Ibu! Puteri Balqis Cadang Saman Netizen Tapi…

Kesiannya Aqish kena hadap komen netizen sampai macam tu sekali 😌 tapi kenapa tak jadi saman tu?

Featured Tue, 20 Sep 2022

Aaron Aziz Stalk Mesej Anak Perempuan di Instagram

Betul memang kena pantau pun lagi-lagi budak zaman sekarang lagi advance, lagi pandai 👀

Featured Wed, 5 Apr 2023
Featured Sat, 9 Sep 2023
Featured Tue, 18 Oct 2022
Featured Fri, 24 Aug 2018

5 Langkah Untuk Mengurangkan Pengambilan Gula

Antara sebab penyakit menyerang adalah disebabkan pengambilan gula yang berlebihan.

Featured Tue, 7 Feb 2023