Hiburan By: Padin July 12, 2023 @ 11:53am

Debaran ABPBH 35 Makin Hangat! Johan & Ain Edruce Kemudi Acara, KJ Bakal Jadi Penyampai Trofi

Ahli politik, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ yang kini bergelar penyampai radio Hot FM, diumumkan antara penyampai trofi yang bakal menghangatkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, yang akan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, pada hari Jumaat, 21 Julai ini.

ABPBH 35 yang akan dipentaskan di panggung seni utama negara, Istana Budaya dan diajaibkan penaja utama, Fellera Skin, bakal menyaksikan gandingan bintang legenda dan angkatan baharu dalam mengemudi dan menyerikan segmen persembahan serta penyerahan trofi berprestij ABPBH.

Pada majlis itu, penyampai radio Hot FM, Johan dan pengacara popular, Ain Edruce diumum sebagai hos utama edisi ke-35 ABPBH, yang diiktiraf sebagai acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia.

Kemunculan Johan di pentas ABPBH 35 pasti mengubat rindu peminat. Manakala acara karpet merah akan dihoskan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan Riena Diana.

Antara barisan artis dan selebriti penyampai trofi adalah pelakon baharu seperti Meerqeen, Siti Hariesa dan Anna Jobling termasuk Puteri Sarah Liyana dan Raysha Rizrose. Tidak ketinggalan, pelakon hebat seperti Beto Kusyairy dan primadona filem Melayu, Erra Fazira serta pengarah, penerbit dan pelakon, Erma Fatima dan Janna Nick.

Turut memeriahkan acara adalah pengacara radio dan televisyen (TV) seperti Fara Fauzana, AG dan Haiza serta Sherry Alhadad dan Che Puan Sarimah Ibrahim, penyanyi Mas Idayu dan Sissy Iman.

Barisan artis yang membuat persembahan turut membabitkan bintang yang layak bergelar lagenda, selain bakat baharu yang pantas mendaki tangga populariti. Pentas ABPBH 35 bakal dihangatkan dengan persembahan Datuk Ramli Sarip; Datuk Yusni Hamid; Datuk Seri Siti Nurhaliza; Amelina; Aizat Amdan; Aina Abdul; Sufian Suhaimi dan Baby Shima

Tidak ketinggalan, Roslan Madun, Haziq Rosebi, Luca Sickta, Kmy Kmo, Luqman Podolski, Aya Amiruddin serta kumpulan Mergasatwa.

Menambah debaran malam kemuncak ABPBH 35, majlis pengumuman pra-kemuncak ABPBH 35 turut mengisytiharkan 10 artis yang setakat ini mendahului undian, sekaligus mempunyai harapan untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Sepuluh artis terbabit adalah Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Bell Ngasri, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana. Selain keputusan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra! serta Bintang Paling Popular, malam kemuncak ABPBH 35 juga bakal menyaksikan dua bintang menerima trofi anugerah khas yang dibawakan khusus bagi edisi ke-35 acara anugerah berprestij ini.

Selain itu, sebagai elemen kejutan, peminat bakal disajikan satu lagi slot persembahan yang masih dirahsiakan.

Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH 35 menampilkan konsep yang berbeza kali ini sesuai dengan penganjurannya yang berusia lebih tiga dekad.

“Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, konsep ini akan diketengahkan dalam pengendalian acara malam kemuncak ABPBH 35 nanti.

“Kekal relevan sebagai acara hiburan pilihan peminat No 1 sejak 1987, acara ABPBH tahun ini memberi interpretasi terhadap usaha berterusan penggiat seni dalam menghasilkan karya tanpa sempadan, namun, tidak mengabaikan jati diri dan menjadikan bintang legenda serta artis ternama sumber inspirasi,” katanya.

Shamshul Azree berkata, selain menyanjung bintang legenda seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma, ABPBH 35 mengiktiraf bakat pelapis yang meneruskan legasi seniman terdahulu dalam mengangkat martabat seni negara.

“Satu anugerah khas akan diberi kepada bakat pelapis yang mencipta kejayaan membanggakan buat negara sepanjang kembara seninya.

“Inisiatif ini diambil sebagai usaha ABPBH menyemarakkan pembangunan industri kreatif dan mendorong penggiat mewakili generasi muda meneruskan legasi seni sebagai khazanah negara yang tidak ternilai,” katanya.

ABPBH 35 menyenaraikan calon yang mematuhi syarat asas ditetapkan Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 termasuk penilaian Lembaga Juri ABPBH 35, membabitkan artis atau selebriti yang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk fizikal termasuk rakaman atau kandungan digital yang memenuhi kriteria mengikut kategori disaingi, bagi tahun pencalonan 2021 dan 2022.

Membariskan 12 kategori di bawah Kategori Utama dan tujuh (7) Kategori Ekstra!, peminat masih boleh mengundi finalis ABPBH 35 sehingga jam 11.59 malam 15 Julai ini menerusi laman web ABPBH 35 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma atau pakej langganan BH digital.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak dua belas (12) Kategori Utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular; BBNU Wanita Popular; Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular; Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular; Aktor Filem Popular; Aktres Filem Popular; Aktor TV Popular; Aktres TV Popular; Penyampai Radio Popular; Pengacara TV
Popular dan Artis Komedi Popular.

Turut dipertandingkan adalah tujuh (7) Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular; Couple Filem Popular; Drama Popular; Lagu Paling Boom; Content Creator Popular; TikTokers Popular dan Video Viral Popular.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Mon, 15 Oct 2018

Enam Tahun Tanpa Lagu Inggeris, Bunkface Muncul Dengan SHIVER

Video muzik SHIVER akan mengetengahkan Sam sendiri sebagai fokus utama dan menampilkan aksi lagak ngeri dan kumpulan ‘Stunt Legend’ MAPS, Perak.

Hiburan Wed, 21 Jun 2023
Hiburan Wed, 19 Sep 2018

中马携手合作《中国原创音乐大赛》推广原创原唱

Musicpreneur Malaysia 踏入新的里程碑,为学音乐和做音乐的孩子提供海外平台,与电视节目《中国原创音乐大赛》携手合作,推广创作人的歌曲同时候也培训新生代歌手。

Hiburan Wed, 20 Nov 2019

Funky Fresh Studios Dan JD Sports Malaysia Bergabung Tenaga Anjur Junior Dance Camp 2019

Anak anda minat tarian hip hop? Ini masanya untuk belajar dengan profesional pada musim cuti sekolah ini!

Hiburan Sat, 27 Oct 2018

Nasihat Pada Waktu Yang Sesuai, Sherry Ibrahim ‘Tegur’ Netizen Demi Elyana

Ish, netizen ni pun. Agak-agaklah bila nak menulis tu. Hari ini dugaan dia, esok pula mungkin hari kita. Bercakap biar pakai akal ok?