Categories: Acara

GoCar, Robson7 bersama kumpul dana untuk pendidikan kanak-kanak pelarian

Oleh Amnan Hibrahim

Syarikat penyedia perkhidmatan perkongsian kereta, GoCar bersama-sama dengan Robson7 mengadakan sebuah lelongan amal, Robson7XGoCar bagi mengumpulkan dana buat pendidikan kanak-kanak pelarian yang berada di pusat pendidikan E-illuminate.

Pada acara lelongan yang dianjurkan di bawah program insiatif komuniti syarikat GoCar, iaitu GoCommunity itu, terdapat lebih kurang 28 barangan yang terdiri daripada lukisan seni dan barangan-barangan peribadi daripada individu persendirian.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar, Alan Cheah, berkata dengan meningkatnya kuasa untuk membuat pilihan dalam kalangan masyarakat, semakin ramai individu dalam masyarakat yang mula sedar akan keperluan untuk membantu insan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar, Alan Cheah ketika berucap di acara  Gocommunity, Robson7XGoCar Kuala Lumpur, baru-baru ini. NSTP/AZHAR RAMLI

“Hari ini, kami mahu menekankan berkenaan dengan kepentingan asas pendidikan buat semua khususnya kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan cara meruntuhkan sebarang halangan yang menghambat mereka.

“Dengan segala kecanggihan teknologi yang dinikmati, tiada sebarang halangan yang boleh dijadikan sebagai alasan untuk kita menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada waktu petang sebelum majlis lelongan GoCommunity berlangsung di Robson7, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengasas Robson 7, Lim Ai San dan Pengasas bersama E-Iluminate, Lim Yuet Kim serta  Min Chia.

Alan Cheah, Pengasas Robson 7, Lim Ai San (dua dari kiri), dan Pengasas bersama E-Illuminate, Lim Yuet Kim ketika acara lelongan amal, Robson7XGoCar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto: GoCar and Robson7

Pada acara lelongan yang berlangsung pada sebelah malam, lebih kurang sejumlah RM100,000 berjaya dikutip dan jumlah berkenaan dijangka akan terus meningkat kerana masih terdapat beberapa barangan yang masih belum terjual.

Antara  barangan menarik yang dilelong pada acara berkenaan adalah sebuah lukisan seni bertajuk Dream The Impossible, hasil karya Thuk Thang Sang yang baru berusia 10 tahun. 

Lukisan yang sebelum ini telah dihasilkan semula sebagai tote bag oleh Minnamarina itu adalah barangan yang merintis kepada insiatif terbaharu program GoCommunity itu yang diketuai oleh Lim Ai San dalam usaha mereka memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Lim Ai San menunjukkan lukisan seni yang bertajuk “Dream The Impossible” ketika acara lelongan amal, Robson7XGoCar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto: Gocar and Robson7

Antara barangan yang dilelong ketika acara lelongan amal, Robson7XGoCar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto: GoCar and Robson7

E-Iluminate adalah sebuah pusat pendidikan yang memberikan pendidikan kepada lebih kurang 20 orang kanak-kanak pelarian. 

Dengan menggunakan dua orang guru yang bertugas secara tetap, pusat berkenaan memberikan penekanan kepada pendidikan yang lebih bersifat praktikal ataupun dikenali sebagai vokasional dalam usaha memenuhi potensi pelajar mereka.

Selain daripada sumbagan dana awam dan juga entiti persendirian, operasi E-Iluminate turut dibiayai oleh restoran PichaEats yang memberikan peluang buat pengunjung restoran berkenaan untuk menikmati hidangan dan dalam masa yang sama turut menyumbang kepada kebajikan golongan pelarian di Malaysia.

tex_admin