Categories: #BabyXTRA

#BabyXTRA: Pernah Rasa Gagal Jadi Bapa, Anak Nombor 2 Paling Banyak Uji Kesabaran… Nubhan Tak Suka Naik Angin

Mengawal emosi amarah terutamanya ketika mahu menegur anak-anak pasti membuatkan ramai ibu bapa berlawan dengan perasaan sendiri. 

Menerusi segmen #BabyXTRA minggu ini, usahawan dan penyanyi Nubhan berkongsi caranya dalam mendidik anak-anak melalui pengawalan emosi. 

Sabar, Jangan Naik Angin

Perkara paling utama ibu bapa harus lakukan adalah memastikan anak-anak berasa selesa dengan kita untuk berkongsi apa-apa perkara sekalipun. 

Dalam kata lain, ibu bapa adalah ‘bestfriend’ anak-anak, penting untuk kita menjaga emosi mereka. 

Bagi Nubhan, dia tidak menyukai cara mendidik anak dengan memarahi mereka atau naik tangan, jelasnya perkara tersebut hanya akan merosakkan emosi mereka. 

“Cara saya adalah dengan merapatkan diri dengan anak-anak agar mereka tak takut dengan kita, rasa dilindungi, ada tempat bergantung. 

“Kalau berlaku apa-apa, mereka akan fikir ibu bapa selalu ada dengan mereka. Dengan anak, bukan emosi perlu dikeluarkan.. 

“Anak-anak memang banyak menguji kesabaran, mindset dan the way kita handle anak-anak bukan dengan emosi.

“Kalau mendidik dengan emosi, persepsi anak-anak akan berubah sampai mereka besar, dengan anak perlu akrab, bukan naik angin,” jelasnya. 

Pernah Rasa Gagal Jadi Bapa

Lumrah menjadi ibu bapa, pasti akan ada momen dimana kita berasa gagal… ini pula kisah Nubhan apabila berdepan detik cemas.

“Anak saya pernah terluka kat tangan dan sekarang tinggal parut, itu adalah yang sangat menyedihkan pada saya. Saya rasa gagal sebab patutnya saya melindungi anak saya tapi ada berlaku satu kecederaan dan berparut sehingga ke hari ini dan begitu jugaklah berparut kat hati saya ini,” tuturnya.

Perangai Anak Nombor 2 Memang Luar Biasa Kan?

Ragam anak-anak semuanya berbeza, pengalaman Nubhan membesarkan anak nombor dua memang epik!

“Anak nombor dua saya rasa tiga tahun tak tidur malam sebab dia kuat merajuk. Kadang-kadang tak ada sebab tengah malam menangis yang tak boleh pujuk sampai isteri saya pun koyak.

“Nangis meronta-ronta, bila dia mimpi, dia bangun akan salahkan saya. Terbawa-bawa mimpi tu sampai real life, kalau nangis lama sangat.

“Saya pujuk sampai dia ok, macam dah separuh gila. Boleh sampai satu jam. Tapi sekarang umurnya dah empat tahun, Alhamdulilah dah ok.

“Merajuk masih ada.. dia seorang anak yang sensitif, cara approach dia memang lain sikit. Paling banyak ajar saya bersabar,” ujarnya.

Seorang Bapa yang Lembut dengan anak-anak

“Saya suka anak-anak saya gembira, saya tak suka anak-anak saya sedih atau menangis sebab mereka baru sahaja nak mengenal dunia.

“Banyak benda yang diorang tak tahu jadi saya selalu nasihatkan isteri saya untuk banyak berlembut dan menerangkan kepada anak-anak pasal banyak perkara yang baru mereka pelajari.

“Saya setiap hari akan peluk, cium anak-anak saya. Berbual, dan kalau saya diberikan masa yang banyak saya akan luangkan bersama mereka sebab waktu mereka membesar ini antara yang tak akan berulang lagi,” tambahnya.

Sekadar info, Nubhan dan isterinya berkahwin pada 2015 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Aqilah Paharuzi