Categories: Eat Travel

Impression, Tarikan Utama Encore Melaka Bukan Teater Biasa-Biasa, Tapi Mengancam!

Membariskan seramai lebih 200 artis dan krew penerbitan, persembahan teater di Encore Melaka yang dinamakan sebagai Impression, bukanlah sebuah teater biasa-biasa.

Malah ia satu-satunya pementasan teater di dunia yang menzahirkan kekayaan Melaka melalui susur galur sejarah dan budayanya bermula lebih 600 tahun lalu.

Menampilkan projeksi video yang inovatif dan mengagumkan serta set pentas haudralik bertingkat dengan pencahayaan mengusik emosi penonton yang duduk di bangku berputar selain penggunaan empat pentas berbeza bagi menzahirkan setiap senario dengan lebih dramatik.

Foto: YouTube

Foto: LaceyBunny Malaysia

Diperhebatkan lagi dengan kesan khas berteknologi tinggi misalnya pencahayaan dan teknik akustik termaju, persembahan teater mega berdurasi 70 minit ini mengimbas kembali kisah yang semakin dilupakan.

Intipatinya berpusar inspirasi warisan budaya masyarakat Melaka, seperti kisah pelayaran awal di Melaka, pelayaran misi diplomatik Laksamana Cheng Ho, cerita tentang wau, cerita tentang ibu yang dikaitkan dengan kasih sayang individu terhadap Negeri Melaka serta pertembungan budaya Baba Nyonya.

Foto: Star2

Persembahan yang terbahagi kepada enam segmen itu bagaikan tidak terasa apabila penonton disajikan persembahan yang tidak dicapai dek akal, menggunakan teknik dan kesan khas sangat halus seninya. Diperindahkan dengan lagu latar belakang dan tarian yang menarik membuatkan penontong khusyuk, sekali gus lupa yang ia adalah sebuah teater.

Bagaikan dipukau, imaginasi penonton dibawa menyelusuri zaman bermula dari empayar Melaka sehingga pembangunannya yang kini sudah menjangkau sehingga enam abad.

Foto: Gaya Travel

Pementasan bertaraf dunia ini adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk dalam meraikan kepelbagaian dan keberagaman serta bersifat inklusif, sekali gus menzahirkan keharmonian yang wujud di negeri Melaka.

Persembahan luar biasa itu berjaya membuatkan penonton tidak merasakan sia-sia membeli tiket kerana apabila tamat persembahan, penonton akan pulang dengan rasa kagum seperti namanya Impression City (gelaran untuk Melaka).

Foto: Star2

Foto: 7klik

Encore Melaka terletak di No. 3 Jalan KSB – Impression 8, Impression City @ Kota Syahbandar, Melaka. Ia merupakan pentas teater terbesar di Asia dengan kapasiti 2,000 penonton dalam satu-satu masa atau sesi pementasan di atas platform unik boleh berputar 360 darjah.

Kadar bayaran tiket yang dikenakan untuk menyaksikan teater Impression ini bermula dari RM98 hingga RM588.

Bangunan teater yang direka oleh Wang Ge dari Institut Reka Bentuk Seni Bina Beijing, China ini merangkumi kawasan seluas 15 hektar tanah berhadapan pemandangan Selat Melaka.

Foto: Star2

Sumber: Encore Melaka

Yanie Baharom