Categories: Eat Travel

Lembut dan gebu, kek mentega kukus pilihan menarik untuk minum petang

Antara kek yang pastinya diminati oleh golongan muda dan tua ialah kek mentega.

Nampak sangat ringkas tetapi rasanya sedap dan manis; manakala teksturnya pula lembut dan gebu.

Kek ini juga boleh dihidang dengan pelbagai hiasan seperti krim, tetapi kalau ia dimakan begitu sahaja pun sudah cukup enak.

Itulah sebabnya ia sesuai sangat untuk dihidang bersama teh atau kopi untuk minum petang.

Memandangkan ia ringkas sahaja, resipinya pun mudah untuk diikuti – sesuai sangat untuk sesiapa yang tidak biasa membuat kek, ataupun baru sahaja hendak menjinak-jinakkan diri.

Jom cuba buat!

Bahan

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula
  • 4 biji telur
  • 1 cawan mentega yang dicairkan
  • 1 sudu kecil serbuk penaik/krim tartar/soda bikarbonat
  • 3 sudu besar susu pekat
  • Secubit garam

Cara penyediaan

1. Sediakan pengukus dan letakkan di atas api hingga airnya mendidih.

2. Di dalam sebuah mangkuk besar, pukul telur sebiji demi sebiji bersama gula hingga kembang dan berbuih, serta gula telah hancur.

3. Masukkan mentega cair perlahan-lahan ke dalam mangkuk dan pukul dengan kelajuan tinggi.

4. Tambahkan susu pekat dan secubit garam.

5. Ayak tepung bersama serbuk penaik/krim tartar/soda bikarbonat dan masukkannya ke dalam mangkuk.

6. Pukul adunan dan tambahkan kelajuannya hingga adunan menjadi likat dan sebati.

7. Sapu mentega atau minyak masak ke atas permukaan loyang kek.

8. Rasa sedikit adunan itu supaya anda boleh lakukan sebarang penambahan perisa, jika perlu, hingga anda puas hati.

9. Tuang adunan ke dalam loyang dan apabila air di dalam pengukus sudah mendidih, masukkan loyang ke dalamnya.

10. Biarkan selama 45 ke 50 minit di atas api sederhana.

11. Alihkan dan hidang.

Sumber: Yati Anggun

Ad Ops