Categories: Eat Travel

Resipi mudah masak peria goreng gaya mamak yang rangup!

Ramai yang gemar makan di restoran nasi kandar atau kedai mamak, macam-macam ada. Nasi beriani, ayam masak madu, popadom dan tidak ketinggalan tentunya teh tarik yang manis berlemak.

Namun begitu, ada satu lagi menu yang tidak kurang hebat menjadi pilihan ramai di restoran berkenaan. Tidak lain dan tidak bukan, peria goreng rangup yang sentiasa mendapat sambutan hangat.

Sudahlah rangup, rasa pahit berlemak di hujung lidah membuatkan peria goreng gaya mamak menjadi igauan ramai.

Tidak susah untuk membuat hidangan ini. Paling penting, dapatkan resipi adunan tepung yang betul untuk menggoreng. Mudah sahaja!

Peria katak enak digoreng dan dimakan bersama nasi ketika masih panas. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Di bawah ini Hijab & Heels kongsikan resipi peria goreng rangup gaya mamak.

Bahan:
2 biji peria katak sederhana besar
1 sudu besar tepung ubi/tepung jagung
1 cawan tepung gandum
1 ½ cawan air
Sedikit serbuk lada hitam
Secubit garam
Perasa makanan (jika tidak mahu, abaikan)
Minyak masak secukupnya untuk mengoreng

Potong nipis mengikut kesukaan, bersihkan dan tos. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Cara penyediaannya:
1. Bersihkan peria katak, hiris sederhana nipis mengikut cita rasa sendiri. Bersihkan dan tos. Ketepikan.
2. Di dalam bekas lain, gaul tepung gandum dan tepung ubi hingga sebati. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau rata.
3. Pastikan adunan berkenaan tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat. Masukkan serbuk lada hitam, garam dan perisa jika mahu.
4. Celup peria yang sudah disejatkan ke dalam adunan, goreng di dalam minyak panas dengan api perlahan.
5. Apabila peria bertukar warna perang, angkat dan tos. Sedia untuk dikunyah ketika masih panas, rangup!

Shaidah Shafie