Al-Fatihah, Penyanyi Asal “Selagi Ada Rindu” Meninggal Dunia Akibat Paru-Paru Berair

Penyanyi asal dan pencipta lagu “Selagi Ada Rindu” iaitu Shafie Ahmad yang dikenali dengan panggilan Pak Long dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Sungai Abdul Halim, Sungai Petani dipercayai akibat paru-paru berair.

Pak Long menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.50 petang semalam di samping isteri dan 7 anak-anaknya selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 3 hari. 

Menurut anaknya, Muhammad Idhoffy berkata, arwah telah dipindahkan dari Hospital Sik ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sejak 8 Februari lalu setelah dirawat selama 25 hari akibat demam panas.

 

Gambar arwah bersama anaknya ketika menjalani rawatan di Hospital akibat demam panas Januari lalu.

Disyaki Paru-Paru Berair Dan Kanser Darah

Menurut anaknya, Allahyarham disyaki turut menghidapi kanser darah.

“Doktor beritahu paru-paru abah berair selain turut mengesyaki abah menghidap kanser darah,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Difahamkan, jenazah arwah akan dikebumikan pada pagi ini di Kampung Batu 8 Sik.

Selain terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, arwah Pak Long turut mencipta lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’ nyanyian Tropika dan lagu ‘Al Jannah’ nyanyian Mawi. Album sulungnya, “Selagi Ada Rindu” edaran FMC Music suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena tersendiri dan sering mendapat tempat di hati peminat serta dimainkan di corong-corong radio.

Pemergian Pak Long merupakan satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air. Salam takziah Xtra ucapkan buat keluarga arwah. Didoakan semoga roh arwah sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah s.w.t.

Syafiqa Irdina