Categories: Eat Travel

Terumbu Karang Hampir Musnah, Maya Bay Akan Ditutup Buat Sementara

Anda pernah pergi melancong ke Pulau Maya Bay di Thailand? Kalau dah pernah pergi ke sana anda pasti akan terpukau dengan kecantikan dan keindahan pulau ini. Penulis sendiri pernah pergi ketika bercuti di Krabi pada dua tahun lepas, sangat cantik yang tidak terkata!

Seperti yang kita ketahui Maya Bay mula dikenali melalui filem ‘The Beach’ lakonan Leonardo Dicaprio. Baru-baru ini, pengarah Taman Negara Mu Kho Phi Phi, Maya Bay telah membuat satu kenyataan bahawa pulau ini akan ditutup sementara selama 4 bulan bermula 1 Jun ini.

Pulau ini terpaksa ditutup sementara adalah untuk membaik pulih dan memulihara terumbu karang yang rosak dan hampir musnah akibat aktiviti pelancongan. Selain itu, semua jenis aktiviti pelancongan akan dihentikan bermula Jun nanti dan hanya akan dibuka untuk tujuan kajian ilmiah sahaja. Pelancong hanya akan dibenarkan untuk mengambil gambar dari luar kawasan pantai.

Untuk pengetahuan anda, hanya 2000 orang pelancong sehari akan dibenarkan untuk memasuki Maya Bay ini selepas pembukaan semula pulau itu nanti. Langkah penutupan sementara pulau ini adalah untuk memastikan ekosistem terus terpelihara.

Bagi anda yang dah merancang nak pergi ke pulau ini sebaiknya menukar lokasi yang lain. Banyak lagi pulau-pulau yang boleh anda kunjungi sama ada dalam negara mahupun luar negara.

Sumber: The Vocket

tex_admin