Euforia Bola 2026
Hiburan By: Aqilah Paharuzi October 14, 2025 @ 3:38pm

Empat Suara, Satu Jiwa: Anuar, Ziana, Ernie & Syamel Bersatu Dalam ‘Jangan Henti’

Empat nama besar yang tidak asing dalam industri muzik tanah air Anuar Zain, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel tampil mengukir sejarah apabila bergabung dalam sebuah karya penuh makna berjudul Jangan Henti.

Lebih istimewa, kolaborasi dua generasi ini bukan sekadar menggabungkan suara hebat empat penyanyi berbakat, tetapi turut membawa mesej mendalam tentang kasih sayang, kekuatan dan semangat untuk terus melangkah tanpa henti.

Dicipta, ditulis dan diterbitkan oleh Edry Abdul Halim, lagu ini dianggap antara kolaborasi paling bersejarah dalam arena muzik Malaysia apabila menampilkan harmoni unik empat warna vokal yang berbeza, namun berpadu menjadi satu melodi padu dan menyentuh jiwa.

Bagi Ziana Zain, 57, peluang bergandingan bersama adiknya Anuar, anak saudara Ernie Zakri, dan Syamel, merupakan pengalaman yang cukup berharga dan sukar dilupakan.

“Alhamdulillah, projek ini ibarat mimpi jadi nyata. Dua generasi bergabung dalam satu lagu dengan suara berbeza-beza, tapi bila disatukan hasilnya indah dan harmoni.

“Apa yang paling bermakna bukan sekadar lagu ini, tapi masa yang kami habiskan bersama sebagai keluarga. Ia jarang berlaku dalam industri tempatan anak-beranak menyanyi dalam satu lagu.

“Lagu ini jadi legasi untuk generasi muda. Mesejnya jelas iaitu jangan henti melangkah, jangan pandang ke belakang,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, Anuar Zain, 55, menyifatkan lagu ini sebagai simbol kasih sayang dan empati yang perlu subur dalam diri setiap insan.

“Jangan henti menyayangi dan mengasihi orang yang kita sayang, kalau boleh sampai ke syurga. Hidup ini perlu dipenuhi dengan kasih, simpati dan empati terhadap orang lain.

“Bergabung dengan kakak, Ziana, serta Ernie dan Syamel memang pengalaman luar biasa. Kami berikan sepenuh jiwa dalam rakaman ini. Harapan saya, pendengar dapat rasa keikhlasan dan semangat yang kami salurkan,” katanya.

Bagi Ernie Zakri, 33, menyanyikan lagu ini bersama keluarga tersayang menjadi antara momen paling berharga dalam hidupnya.

“Saya membesar melihat keluarga saya di pentas, dan kali ini saya berdiri bersama mereka dalam satu lagu, ia satu perasaan yang sukar digambarkan.

“Lagu ini bawa mesej positif, jangan henti menyanyi, jangan henti menyebar kasih sayang, dan jangan henti berbuat baik.

“Paling penting, jangan henti menyayangi kami berempat,” selorohnya.

Sementara itu, Syamel, 32, menyifatkan penglibatannya dalam projek ini sebagai satu peluang berharga untuk belajar daripada dua figura legenda industri muzik tempatan.

“Setiap daripada kami ada karakter vokal tersendiri. Edry Abdul Halim bijak menyusun bahagian lagu agar semua suara saling melengkapi.

“Sepanjang proses rakaman dan latihan, saya banyak belajar tentang disiplin serta cara membawa diri sebagai penyanyi profesional.

“Ia pengalaman yang mungkin datang sekali seumur hidup. Saya bersyukur dan berbangga jadi sebahagian daripada sejarah ini,” katanya.

Single Jangan Henti dilancarkan pada 26 September lalu, dan kini boleh didengarkan di semua platform digital.

Kolaborasi empat suara hebat ini bukan sekadar sebuah lagu, tetapi lambang kasih keluarga, semangat perjuangan dan cinta yang tidak pernah henti.

Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

#LaguXTRA Fri, 26 May 2023
Hiburan Sun, 7 Jan 2018

Janna Nick, Sakinah DiKritik dan DiKecam Oleh Netizen Pasal Kpop

Bagaimanapun, Sharifah Sakinah dan Janna Nick dikecam hebat apabila dikatakan menghina kematian penyanyi itu.

Featured Wed, 20 May 2026

“Janganlah Potong Mood, Saya Ni Penggeli” – Abby Abadi Tegur Peniaga Guna Kotak Sangkar Hamster Bungkus Makanan

Abby Abadi meluahkan rasa kesal apabila makanan yang dipesan menerusi atas talian yang diterimanya dibungkus menggunakan kotak sangkar haiwan.

Hiburan Thu, 17 Jan 2019

#AJL33: Pertama Kali Beraksi Di Final, Siti Sarah Mengaku Rasa Takut

Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau tiada bermakna saya perlu mencuba lebih baik lagi di masa akan datang…

Hiburan Thu, 5 Mar 2026
error: Content is protected !!