Categories: familuv

The Family UK Keluarga Contoh Buat Si Perantauan Agar Tidak Lupa Asal Usul

Rasanya, keluarga Malaysia yang kini menetap di Birmingham, United Kingdom (UK) ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

Gelagat bijak tiga beradik, Fatimah, Ali dan Omar, menerusi akaun Instagram yang dikendalikan ibu bapa mereka, @thefamily.uk, menjadi hiburan yang menceriakan.

Walaupun dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK) dan menetap di negara itu, ketiga-tiga beradik itu terutamanya Fatimah Omar Mukhlis, 4, tidak melupakan bahasa Melayu, malah fasih ‘kecek kelate’ hasil didikan ibu bapanya yang tidak mahu anak mereka lupa bahasa ibunda.

Petah bertutur sejak berusia setahun, selain fasih dialek Kelantan, Fatimah juga fasih bahasa Thailand dan bahasa Inggeris.

Foto: Sensation2u.com

Ibunya, Nor Ashila Mahamed Ismail, 37 berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu suka bertutur dialek Kelantan sejak kecil lagi.

“Walaupun kita bercakap bahasa Inggeris, dia akan balas dialek Kelantan. Berbeza dengan abangnya, Omar Mukhtar, 11, yang pada mulanya malu nak bercakap dialek Kelantan kerana ada segelintir rakan mentertawakannya.

“Selepas Omar melihat Fatimah berkeyakinan bertutur dialek Kelantan, baru dia (Omar) bertutur dialek itu tanpa segan dan rendah diri,” katanya yang mengusahakan restoran di Birmingham.

Menurut Nor Ashila, dia dan suaminya, Omar Mukhlis Azizan, 37, mahu mendidik anak mereka supaya mengenal bahasa ibunda.

Foto: thefamily.uk

“Suami memang berasal dari Kelantan manakala saya pula berasal dari Thailand. Walaupun sudah menetap di UK sejak 2004, kami tidak mahu anak lupa bahasa dan adat.

“Oleh itu, kami praktikkan penggunaan tiga bahasa di rumah. Alhamdulillah mereka tidak keliru dan kini ketiga-tiga anak saya sudah mahir dalam menyusun ayat dalam penggunaan tiga bahasa ini,” katanya.

Lebih bermakna mereka sekeluarga juga merancang untuk pulang ke tanahair tahun ini untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing di Kelantan.

Foto: thefamily.uk

Yanie Baharom