Categories: familuvFeatured

10 tanda anak anda mangsa buli siber

Peminat hiburan Korea Selatan dilanda kesedihan atas pemergian artis wanita, Sulli, yang disahkan membunuh diri pada Isnin lepas.

Punca kematiannya masih belum dikenal pasti oleh pihak polis. Tetapi sesiapa yang mengenalinya memang tahu bahawa pelakon dan penyanyi ini sering menjadi mangsa kecaman di laman siber.

Gejala buli siber ini semakin berleluasa, tetapi jangan sangka orang dewasa sahaja yang boleh menjadi mangsa. Kanak-kanak atau remaja yang menggunakan Internet dan media sosial juga tidak terkecuali.

Dengan adanya perkembangan teknologi, ramai kanak-kanak kini sudah diberi peluang oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk memiliki gajet pada usia yang muda.

Malangnya ramai ibu bapa tidak sedar bahawa peranti mudah alih ini boleh menjadi satu wadah yang merbahaya bagi kanak-kanak dan remaja.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, buli siber merujuk kepada ‘perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.’

Hakikatnya, ramai kanak-kanak sekarang ialah mangsa buli siber, tetapi yang lebih menakutkan, ramai dalam kalangan mereka yang tidak memberitahu ibu bapa mereka mengenai apa yang mereka alami.

Jadi amat penting bagi ibu bapa untuk memberi perhatian dan mengambil tahu mengenai aktiviti anak mereka di Internet supaya kejadian buli siber dapat dibendung.

Berikut adalah 10 tanda seseorang kanak-kanak itu dibuli di laman siber, menurut Netnanny.

Mangsa gementar, takut untuk pergi ke sekolah atau keluar dari rumah

Jika dia rasa tidak selesa untuk berada di sekolah atau di samping rakan sekolahnya, anda patut lihat itu sebagai satu tanda yang penting.

Satu lagi ialah apabila anak anda kerap bertanya bolehkah jika dia ponteng sekolah ataupun meminta izin untuk pulang lebih awal dari sekolah.

Anak anda rasa tidak selesa di samping rakan-rakan sekolahnya. Sumber: Teachtoday

Dia rasa gemuruh atau gentar apabila menghantar mesej atau menggunakan media sosial

Adakah anak anda kelihatan risau mengenai gajet miliknya, terutamanya apabila ia berada di dalam pandangan anda? Simpan peranti mudah alih itu di kawasan rumah yang sering digunakan supaya anda boleh perhatikannya.

Dia tidak rela berkongsi maklumat mengenai aktiviti mereka di Internet

Perbuatan merahsiakan apa yang dilakukannya ialah satu tanda nyata terhadap kes buli siber. Kanak-kanak akan berbuat demikian kerana mereka takut untuk bersuara, terutamanya kepada ibu bapa.

Sebagai langkah perlindungan, tetapkan peraturan terhadap akaun di Internet dan kata laluan yang mereka gunakan.

Dia mengalami masalah kesihatan atas faktor yang tidak dapat dijelaskan

Simptom penyakit seperti sakit kepala atau perut, kekurangan berat badan dan kesukaran untuk makan ialah beberapa kesan gejala buli terhadap kanak-kanak.

Ibu bapa perlu berjaga-jaga kerana jika dibiarkan, tahap kesihatan anak mereka boleh melarat.

Dia sukar tidur pada waktu malam dan mengantuk di siang hari

Kanak-kanak tidak dapat tidur kerana mereka trauma terhadap perbuatan orang yang membuli mereka. Hal ini akan memberi kesan kepada produktiviti kanak-kanak ini pada waktu siang.

Dia rasa terganggu selepas menggunakan Internet

Perhatikan jika anak anda tampak murung. Sumber: Daily Mail

Pernahkah anda melihat anak anda menjadi marah terhadap apa yang sedang berlaku menerusi skrin gajetnya hingga dia berhenti menggunakanya? Ada yang terus membaling atau menghempas gajet itu ke dinding atau lantai. Kemarahan ini patut dilihat sebagai petanda besar.

Dia tidak lagi meminati hobi atau aktiviti kegemarannya

Anak anda mungkin akan cuba untuk menjauhkan diri daripada orang lain yang berpotensi untuk membulinya.

Dia tiba-tiba tampak murung atau anti-sosial

Anak anda mungkin rasa tidak gembira dan ingin berseorangan di dalam biliknya. Untuk menaikkan moodnya, adakan aktiviti sekeluarga. Pastikan dia tahu bahawa anda ada di sisi untuk memberi sokongan moral.

Dia menjauhkan diri daripada sahabat dan ahli keluarga rapat

Tindakan ini mungkin satu percubaan untuk menjauhkan diri daripada pembulinya. Pastikan anda berada di sampingnya jika dia ingin meluahkan perasaan.

Dia mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan membunuh diri

Inilah petanda paling penting yang ibu bapa perlu ambil tahu dan perhatikan. Hubungi pakar untuk ketahui langkah seterusnya dan pastikan pihak sekolah sedar mengenai hal ini.

Memang susah untuk mengenal pasti tanda-tanda buli siber pada anak anda tanpa menjadi ibu bapa yang mengawal ketat semua gerak-gerinya.

Tetapi jika anda peka sekurang-kurangnya satu daripada tanda di atas, sudah cukup untuk anda sedar bahawa anak anda sedang sengsara.

Jika anak anda sedang dibuli, anda patut galakkan komunikasi terbuka supaya anda tahu apa yang sedang berlaku.

Ad Ops