Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara pencarian Dewi Remaja 2019, Amelia Henderson akui berdebar muncul di kaca televisyen.

Tambah wanita berusia 24 tahun ini, dia juga mempunya alasan tersendiri menerima tawaran menjadi pengacara musim ini.

“Kebiasaanya saya bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah termasuklah ketika bersama rakan-rakan.

“Sebenarnya, saya boleh bertutur Bahasa Melayu kerana saya bersekolah biasa dan ada ramai kawan-kawan Melayu.

“Peluang ini merupakan platform untuk saya menonjolkan kebolehan bertutur dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya dalam masa sama mengasah bakat dalam bidang pengacaraan. Saya bersyukur diberi peluang ini dan akan mencuba sebaik mungkin,” katanya.

Sebelum ini, selebriti berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson ini pernah dikritik kerana kemampuannya menguasai Bahasa Melayu.

Amelia ketika ditemui di sidang media pengumuman finalis Dewi Remaja 2019 di Nicsmann by Lewre, Starling Mall mengaku bimbang dibandingkan dengan pengacara musim terdahulu, Scha Al-Yahya.

“Scha adalah Scha manakala saya ada cara saya tersendiri. Saya faham akan ada netizen yang membuat perbandingan tahap persembahan kami di kaca televisyen.

“Dulu ada netizen yang mempertikaikan status warganegara saya hanya kerana saya tidak fasih berbahasa Melayu. Saya rasa benda ini kelakar. Banyak lagi perkara untuk dibincangkan di media sosial,” kata Amelia yang meminta netizen lebih fokus kepada pencapaiannya dalam bidang seni.

Apapun, tahniah buat Amelia atas pemilihan sebagai pengacara Dewi Remaja musim baharu ini. Good luck, sis!

Oleh: Fas

SGMS Faida