Categories: FeaturedGaya Hidup

4 tip perancangan kewangan awal Ramadan, nombor 4 paling mudah

Bulan Ramadan datang bersama 1,001 kebaikan apabila segala amalan kebaikan individu dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.

Selain menjalankan kewajipan dalam ibadat puasa, bulan Ramadan umpama melatih umat Islam untuk membuat perancangan kewangan yang berhemah dan bersederhana.

Bagi golongan wanita, bulan Ramadan sentiasa menguji perasaan terutama dalam hal berkaitan perbelanjaan harian.

Terdapat 4 tip perancangan kewangan yang boleh dipraktikkan dengan mudah agar bulan Ramadan kali ini dapat dilalui tanpa tekanan. 

1.  Memasang tekad untuk berjimat

Merancang perbelanjaan secara lebih teratur mampu membantu anda berjimat pada bulan Ramadan. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Sebagaimana ibadat puasa dimulakan dengan niat, begitu juga jika kita ingin berjimat pada bulan puasa. Perkara yang paling penting ialah memasang azam dan tekad untuk tidak membazir.

Apabila kita mempunyai sasaran untuk menjimatkan sebanyak yang mungkin dalam bulan ini, maka segala usaha kita akan menjadi lebih mudah.

Seperti azam yang lain, azam untuk berbelanja dengan lebih berhemah pada bulan Ramadan perlu diamalkan. Hadkan perbelanjaan harian seminimum mungkin.

Andai kata pada bulan biasa jumlah perbelanjaan untuk makan dan minum adalah RM30 maka pada bulan ini boleh dihadkan kepada RM20 sahaja dan baki yang selebihnya boleh dimasukkan ke dalam tabung khas.

                                                                                                       Sponsored Ad

2. Rancang lebih awal menu bersahur dan berbuka

Rancang menu berbuka kerana pelbagai resipi boleh didapati dalam blog, portal mahupun media sosial. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

Jika kita merancang untuk memasak sepanjang Ramadan ini, bolehlah ditetapkan menu ketika bersahur dan berbuka. Blog, portal dan media sosial banyak berkongsi resipi mudah yang boleh kita senaraikan sepanjang 30 hari Ramadan.

Dengan meletakkan had sebegini, lebih mudah untuk kita membuat keputusan bagi pembelian barang-barang basah yang akan dibeli, malah kita juga akan berusaha sedaya upaya untuk kekal dalam bajet Ramadan ini.

Catatlah anggaran kos bagi segala perbelanjaan dan catatkan juga kejayaan atau kegagalan kita ‘menepati’ bajet ini untuk kepuasan sendiri.                                                                  

3. Pergi ke bazar Ramadan pada saat akhir

Elakkan pembaziran semasa membeli makanan di bazar Ramadan NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

Sekiranya anda perlu juga ke bazar Ramadan cubalah hadkan pembelian dengan tampil lewat ke tapak bazar kerana cabaran utama dalam bulan ini adalah rasa lapar.

Membeli-belah dalam keadaan lapar dan dahaga akan mempengaruhi keputusan kita dalam masa yang singkat. Rasa lapar akan mendorong kita untuk berbelanja secara berlebihan terutama apabila kita meluangkan masa yang panjang ditapak jualan.

Elakkan tiba awal untuk mengelakkan kesesakan, malah dikatakan pada saat akhir jualan sering juga ada lelongan dan tawaran harga berbeza daripada penjual.

4. Banyakkan sedekah

Akhir sekali, jangan lupa untuk sentiasa bersedekah kerana dalam sedekah itu dapat menambahkan lagi rezeki di samping ganjaran pahala yang berlipat ganda dalam bulan Ramadan.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”

                                                                     Sponsored Ad

Buatlah rancangan bajet sedekah dari awal sehingga ke hari akhir Ramadan, semoga rezeki kita akan lebih bertambah tanpa sedar.

Sumber: Ustazah Khuzama Ab Rahaman, Jabatan Syariah & Penasihat Perniagaan, Takaful IKHLAS.

Fadzlena Jafar