Categories: FeaturedGaya Hidup

5 tahun tunggu zuriat, ini janji Dr Say Shazril kepada isteri

Kegagalan untuk memperoleh zuriat boleh menjadi punca perceraian dalam kalangan pasangan muda, terutama apabila campur tangan keluarga khususnya ibu bapa mentua yang kerap bertanya soalan keramat itu.

Lebih-lebih lagi apabila tiba Aidilfitri, kegembiraan untuk meraikan Lebaran bertukar pilu apabila sering dilontarkan soalan mengenai cahaya mata.

Itulah yang dirasai pasangan doktor muda, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, 32 dan isterinya, Dr Azura Abas. Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2014 itu juga tidak terkecuali apabila sering ditanyakan soalan mengenai cahaya mata.

Dr Say Shazril ketika mengacara rancangan Tanya Dr Say. (Gambar Instagram @say_shazril)

Dr Muhammad Shazril  atau lebih popular dengan gelaran Dr Say Shazril membina nama menerusi pembabitan dalam pertandingan bina badan dan peragaan, sebelum popular sebagai pengacara program Tanya Dr Say dan kini mempunyai program di YouTube.

Orangnya tampan dan tegap, justeru ramai wanita yang ingin mendekati walaupun beliau sudah mendirikan rumah tangga. Lebih empat tahun berkahwin dengan Dr Azura, beliau akui pelbagai dugaan dilalui apabila masih hidup berdua tanpa kehadiran si comel sebagai pengikat kasih.

Lelaki juga tidak subur

Dalam tiga perkongsian bermula 21 Sepetember 2018, Dr Say Shazril menulis panjang lebar mengenai isu kesuburan. Tajuk kontroversi Bukan Semua Salah Perempuan menjadi tular kerana beliau seolah-olah membuka aib sendiri, namun ramai warga siber yang memuji perkongsiannya itu.

“Pada awal perkahwinan kami memang merancang untuk tidak mempunyai anak kerana masing-masing sibuk dengan latihan sebagai pegawai perubatan. Ketika itu kami di Terengganu, tetapi selepas dua tahun rezeki masih tidak berpihak untuk menimang cahaya mata.

“Apabila berhenti kerja dan kembali ke Selangor masih lagi belum ada rezeki. Tetapi, biasalah apabila isteri tak mengandung masyarakat sering tuding jari kepada wanita. Isteri saya pula bimbang, lebih-lebih lagi dia pernah buat pembedahan di perut,” tulisnya.

Hasil pemeriksaan ke atas Dr Azura, wanita itu disahkan normal, justeru giliran Dr Say Shazril melakukan ujian Analisis Semen yang akhirnya mengesahkan beliau menghidap Teratozoosperma atau jumlah tinggi sperma abnormal.

Hampir terduduk dengan keputusan berkenaan, namun beliau bersyukur apabila dimaklumkan doktor beliau masih mempunyai harapan.

Sejak itu, Dr Shazril mengamalkan gaya hidup sihat dengan menghentikan pengambilan minuman berkarbonat, mengambil makanan sihat dan tidak memakai seluar sendat apabila di rumah.

Kelahiran Aezriel

Hasilnya, tiga bulan kemudian isterinya disahkan hamil dan bayi yang ditunggu-tunggu selama ini selamat dilahirkan pada 5 Mei 2019. Meskipun tidak dapat menyaksikan kelahiran anak sulungnya itu kerana terikat dengan tugasan, kelahiran bayi yang dinamakan Aezriel atau digelar Ace itu disambut dengan penuh kesyukuran

Kelahiran Aezriel yang kini berusia setahun mengukuhkan kasih sayang pasangan dua sejoli itu. (Gambar Instagram @say_shazril)

Begitu pun, beliau akui pernah terfikir isteri mungkin meninggalkannya kerana beliau yang bermasalah lebih-lebih lagi apabila isterinya pernah meminta beliau untuk tidak meninggalkannya jika mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam perkongsian 8 Mei lalu, Dr Shazril yang mengimbas kembali detik suram mereka berdua sebelum dikurniakan Ace mengakui pernah berjanji untuk setia dengan isterinya walau apapun yang terjadi.

“Saya dan isteri mencuba selama lebih empat tahun untuk mendapatkan Ace. Dalam tempoh percubaan ini semestinya pelbagai pahit getir yang kami lalui. Yang saya paling ingat ialah apabila isteri berbisik sayu kepada saya agar saya tidak meninggalkannya sekiranya kami tidak dikurniakan cahaya mata.

“Masa itu saya jawab dengan ‘It’s okay hun. To be honest i am more than happy living my life just with you’ (Saya baik-baik sahaja, sayang. Secara jujur, saya amat gembira hidup dengan awak). Niat untuk mengambil anak angkat pun ada kami bincangkan,” tulisnya.

Mulia sungguh hati Dr Say Shazril, mungkin Allah menguji beliau selama hampir lima tahun tanpa zuriat, namun kerana keikhlasannya terhadap isteri, Allah kurniakan rezeki seorang cahaya mata sebagai pengikat kasih sayang.

Kini, pasangan bagai pinang dibelah dua itu dalam perancangan untuk menambah cahaya mata. Semoga kekal bahagia dengan dikurniakan lebih ramai cahaya mata!

Fadzlena Jafar