Categories: FeaturedSihat

Hampir 77 peratus kes baharu COVID-19 membabitkan kes import

Peningkatan mendadak kes jangkitan baharu COVID-19 pada hari pertama fasa empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini berpunca daripada kes import yang merangkumi hampir 77 peratus daripada jumlah kes baharu yang dikesan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat 94 kes baharu positif COVID-19 dikesan dan daripada jumlah itu, 72 kes (77 peratus) membabitkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua 72 kes import itu adalah pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

“Hari ini terdapat 94 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,945 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 94 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 72 kes adalah kes import melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia. Ini bermakna, kes penularan tempatan (local transmission) adalah 22 kes sahaja,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, terdapat 55 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 4,087 kes atau 68.75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, seramai 40 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding hanya 36 kes semalam dan daripada jumlah itu, 18 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagaimanapun, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 sehingga tengah hari tadi, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 100 kes atau 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Fadzlena Jafar