Categories: FeaturedSihat

Ketahui mitos mengenai ‘scaling’ gigi, elak masalah karang gigi

Scaling atau penskaleran adalah rawatan mencuci gigi yang dilakukan untuk membersihkan karang gigi dan plak. Karang gigi adalah antara faktor yang menyebabkan masalah mulut berbau atau halitosis, manakala plak gigi pula ialah lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna, terbentuk dan melekap pada permukaan gigi. Bayangkan, dianggarkan lebih dari 1000 spesies bakteria terdapat dalam plak yang boleh menyebabkan pelbagai masalah berkaitan gigi!

Sehubungan itu, pemeriksaan gigi yang berkala serta melakukan scaling gigi amat penting bagi menjaga kesihatan gigi dan mulut secara menyeluruh. Bagaimanapun, tidak ramai masyarakat kita yang tahu mengenai scaling, jika tahu pun, ada yang membatalkan hasrat untuk melakukan rawatan tersebut setelah mendengar mitos mengenai scaling gigi.

Kredit gambar: rsfmed.co.id

Antara mitos mengenai scaling yang ramai masyarakat kita percaya ialah scaling menyebabkan gigi jarang. Fakta betul adalah penskaleran gigi TIDAK menyebabkan gigi jarang. Gigi jarang berlaku apabila individu itu membiarkan terlalu lama karang gigi sehingga gusi menjadi bengkak. Gigi jarang akan kembali normal setelah gusi sembuh dan dijaga dengan baik.

Ada juga mitos yang mengatakan scaling akan menjadikan gigi seseorang itu nipis yang mana ia adalah SALAH sama sekali. Penskaleran gigi berfungsi secara getaran dan bukan menghakis. Prosedur juga dilakukan ke atas karang gigi dan bukannya gigi, justeru ia tidak menghakis permukaan gigi dan menjadikan gigi nipis.

Selain itu, penskaleran gigi juga TIDAK menyebabkan gigi sensitif. Gigi menjadi sensitif kerana karang gigi yang banyak membuatkan gusi semakin bengkak dan menyebabkan permukaan akar gigi terdedah. Jadi, untuk mengelakkan gigi sensitif, scaling perlu dilakukan untuk memulihkan gusi serta menyingkirkan karang gigi. 

Kredit gambar: Aladokter

Terdapat juga mitos yang mengatakan penskaleran gigi menyebabkan gigi bergoyang. Masalah gigi bergoyang BUKAN berlaku selepas melakukan rawatan cuci gigi, namun kerana sokongan kepada gigi oleh gusi telah berkurang apabila terbentuknya karang gigi yang tebal. Karang gigi yang tebal ini jugalah yang menyokong gigi yang sudah lama bergoyang. Perkara ini juga dipanggil masalah periodontal disease yang menyebabkan tulang dibawah gusi sudah rosak.

Mitos lain ialah scaling gigi boleh memutihkan gigi. Ini TIDAK benar kerana scaling hanya untuk membersihkan gigi. Merokok, minum kopi, teh dan sebagainya boleh menyebabkan staining atau kotoran serta karang gigi berwarna kekuningan. Jadi, setelah dicuci, gigi akan nampak bersih, putih dan mampu mengembalikan warna semula jadi gigi.

Ada juga yang mengatakan seseorang itu tidak perlu lagi scaling gigi jika sudah memberus gigi sebanyak dua kali sehari. Ini KURANG tepat kerana walaupun kita sudah memberus gigi lebih pada dua kali sehari, kemungkinan kita akan terlepas untuk memberus permukaan yang sukar. Apapun, lakukan pemeriksaan gigi enam bulan sekali bagi menjaga kebersihan gigi yang optimum.

Sumber video: Facebook ML Studios

Ad Ops