Categories: FeaturedSihat

Kira kalori minimum untuk turunkan berat badan

Rakan penulis bersungut mahu turunkan berat badan, tapi tidak tahu bagaimana cara sesuai untuk melakukannya kerana beliau gemar makan.

Dalam pada seronok mencuba makanan atau kafe baru, beliau semakin gusar kerana setiap kali melangkah naik ke atas penimbang digital, angka yang tertera semakin meningkat, itu sangat bahaya!

Penulis sendiri risau memikirkan cara untuk mengatasi berat badan kerana apabila berat bertambah, bacaan darah (penyakit darah tinggi) akan meningkat dan memberi kesan tidak baik kepada mutu kesihatan.

Bagaimanapun, tentunya anda pernah dengar kenyataan “..ambil makanan seperti biasa, tapi jangan lupa kira kalori dan jangan ambil kalori lebih daripada yang sepatutntya.”

Ikan sumber protein dan baik untuk mereka yang mengamalkan diet. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Ada pelbagai jenis diet yang diperkenalkan oleh penggiat kesihatan dan mereka yang bertauliah dalam bidang pemakanan kesihatan.

Antaranya intermitten fasting, diet protein, diet keto, diet lemak, eat clean dan bagi Muslim amalan berpuasa juga adalah langkah berkesan untuk menjaga kesihatan.

Oleh itu, diet berasaskan pengambilan kalori yang minimum juga boleh digunakan untuk menurunkan berat badan.

Pulut dengan serawa durian enak dimakan, tapi awas jumlah kalori yang terkandung dalam hidangan ini tentunya mengejutkan anda. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Bagaimanapun, bagi individu yang mahu melakukan diet pengambilan kalori minimum, ketahui formula khusus sebelum memulakannya.

Menerusi perkongsian di laman sosial milik Sam Abd Rahman, seorang model kecergasan, beliau mengemukakan formula ringkas untuk mengira jumlah kalori minimum yang boleh diambil bagi mengelakkan wanita terlebih pengambilan kalori.

Ini formulanya

665 + (9.56 x berat) + (1.85 x tinggi ) – (4.67 x umur) = kalori minimum .

Sebagai contoh, penulis kemukakan jumlah kalori minimum yang penulis boleh ambil berdasarkan formula berkenaan.

665 + (9.56 x 86) + (1.85 x 153) – (4.67 x 49) = 1,541.38 (kalori minimum)

Oleh itu, berdasarkan pengiraan ini, penulis tidak boleh mengambil makanan yang jumlah keseluruhananya melebihi jumlah kalori minimum.

Apa yang penulis lakukan adalah periksa jumlah kalori setiap makanan yang mahu diambil dengan menggunakan pelbagai sistem yang ada di laman sosial.

Mudah sahaja, cuma perlu letakkan sedikit usaha agar badan mengalami penurunan berat badan dengan sihat.

Senaman membantu mempercepatkan penurunan berat badan – gambar hiasan. Foto: NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

Bagaimanapun, penulis sarankan lakukan juga senaman yang boleh mengeluarkan peluh seperti berjalan laju sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.hijabnheels.com/posts/ketahui-senaman-murah-dan-mudah-untuk-kekal-sihat

Lihat hasilnya, pasti teruja!

Shaidah Shafie