Featured By: Fadzlena Jafar May 17, 2020 @ 7:27pm

KKM bimbang peningkatan pergerakan warga kota ke kampung cetus gelombang kedua

Peningkatan pergerakan warga kota pulang ke kampung bagi menyambut Aidifitri boleh menjadi pencetus pada gelombang kedua jangkitan COVID-19  yang lebih dahsyat.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sehingga 17 Mei 2020, sebanyak 971 kes positif COVID-19 (atau 14.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 didapati mempunyai sejarah merentas negeri.

Selain itu, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, malah 10 daripada kluster berkenaan adalah masih aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan perjalanan merentas negeri bagi mengelakkan penularan jangkitan baharu COVID-19 khususnya di kawasan Zon Hijau.

“Kes-kes positif COVID-19 yang berkait rapat dengan aktiviti merentas negeri adalah amat membimbangkan, terutama sekiranya kejadian itu terus-menerus berlaku walaupun selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Masyarakat harus waspada ketika tempoh perayaan yang bakal tiba kerana ini mungkin menjadi pemangkin kepada penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan-kawasan yang kini sudah mencapai status Zon Hijau,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Petang tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melaporkan pemeriksaan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menunjukkan peningkatan 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung semalam, berbanding 508 kenderaan pada 15 Mei 2020.

Kelihatan aliran trafik dari arah Kuala Lumpur ke Pantai Timur sesak pada tinjauan di sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19 di Tol Gombak, pada 17 Mei 2020. (Gambar NSTP/ASWADI ALIAS)

Meskipun ketika ini tindakan PDRM hanya mengarahkan kesemua pemandu kenderaan berkenaan berpatah balik, PDRM mungkin akan mula mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang cuba menipu untuk pulang ke kampung sepanjang PKPB ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menghargai usaha dan berterima kasih atas tindakan penguatkuasaan oleh pihak PDRM bagi memastikan pematuhan masyarakat kepada syarat PKPB terus kekal tinggi.

“Penguatkuasaan ini penting supaya orang ramai tidak menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberikan oleh Kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan Malaysia tersenarai antara 15 negara yang mempunyai jumlah kes positif COVID-19 melebihi 1,000 kes, berjaya mencapai 80 peratus kes sembuh sepenuhnya.

Sehingga jam 12 tengah hari 17 Mei 2020, Malaysia mencatat pertambahan 59 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 5,571 kes atau 80.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes baharu positif COVID-19 yang dikesan hari ini pula hanya sebanyak 22 kes dengan membabitkan lima kes import, justeru penularan tempatan hanya 17 kes membabitkan sembilan kes bukan warganegara Malaysia

Pertambahan 22 kes baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,894 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,210 kes.

Selain itu, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan tujuh kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

CPRC turut melaporkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 113 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Mon, 16 Jan 2023
Featured Mon, 31 May 2021

“Alhamdulillah, Ini Perjalanan Baru Buatnya…” Rizman Doakan Isteri Kekal Istiqamah

Setelah mendirikan rumah tangga dan  memiliki seorang cahaya mata, kehidupan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Nordin bersama isterinya Nuridaya Suraya sering mendapat perhatian ramai. Pasangan itu juga dilihat lebih bahagia dengan kehadiran cahaya mata […]

Featured Tue, 26 Jun 2018

Takut Legam Semasa Penggambaran Pulang, Puteri Aishah Lumur Sunblock Setiap Masa

Lumur sunblock di seluruh kulit wajah dan badan sebegai pelindung kulit daripada terbakar atau menjadi gelap.

Featured Thu, 7 May 2020
Featured Fri, 16 Dec 2022