Minggu lepas, acara terkemuka untuk industri fesyen negara, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) kembali lagi untuk tahun keenamnya tapi ia masih tak berubah daripada masa pertama kali ia dilancarkan.
Mengambil tempat di Center Court, Pavilion KL, tempat duduknya adalah terhad, sempit dan langsung tak ideal.
Dan nampaknya pihak penganjur, Andrew’s Models, tak kisah yang acara meriah ini adalah lebih kepada acara sarkas selebriti dan bukannya sebuah acara yang menetapkan penanda aras untuk industri fesyen tanah air.
Walaupun ia dah memasuki tahun keenam, masih terlalu banyak fokus diberikan kepada nama-nama besar di front row dan bukannya kepada busana-busana yang diperagakan di atas pentas.
Lecehlah untuk mereka yang betul-betul ingin menilai apa yang industri fesyen kita boleh tawarkan, dan kasihan juga kepada penat lelah yang para pereka fesyen telah berikan untuk menghasilkan busana-busana kreatif.
Publisiti memanglah bagus, tapi terlalu banyak publisiti boleh mewujudkan satu persekitaran di mana populariti yang superficial lebih disanjung tinggi daripada semua benda lain, termasuklah originaliti serta hasil kerja yang mantap.
Dan dengan Melium Group mengambil satu slot penuh pada malam Khamis untuk memperagakan label antarabangsa seperti Lanvin dan Givenchy, KLFW nampaknya sudah hilang arah.
Fashion show yang berlangsung sepanjang 5 hari dan menampilkan 100 label pakaian adalah sedikit menyusahkan untuk wartawan fesyen menetapkan jadual.
Cara label-label ini diatur mengikut kumpulan juga membingungkan. Untuk melihat busana-busana 3 pereka fesyen yang berlainan, anda mesti hadiri 3 fashion show yang berbeza.
Maknanya anda terpaksa jugalah melihat pakaian label-label yang anda tak minat pun. Lagi annoying, anda terpaksa buang masa sambil menunggu untuk pintu dibuka dan show bermula.
Jadi untuk apa dan siapakah KLFW ini dianjurkan? KLFW dijenamakan sebagai sebuah platform di mana jika anda minati mana-mana busana yang diperagakan, anda boleh beli terus kalau nak.
Tapi nampaknya hampir tak ada label langsung yang menggunakan pendekatan “tengok-sekarang-beli-sekarang” itu.
Ia lebih bertujuan untuk mendatangkan publisiti dan bisnes untuk pereka fesyen yang terlibat tapi untuk golongan media yang membuat liputan, ia lebih selektif.
Jurugambar Kumpulan New Straits Times Press dilaporkan tak boleh masuk ke salah sebuah show kerana lokasinya dah penuh.
Kesimpulannya, apa yang tak cukup dalam situasi ini adalah gembar-gembur atau hype yang tulen oleh para tetamu yang hadir tentang busana, kasut dan hijab yang diperagakan.
Nampaknya KLFW telah dihanyutkan oleh hype. Terlalu banyak “show” tapi tak cukup bisnes.
Jadi siapakah yang menyerlah di acara KLFW2018?
Fiziwoo tampil lain daripada yang lain dengan gaun longgar dan besar tapi disusun rapi yang melibatkan lapisan kain tulle dan sulaman flora.
Arared juga menggunakan tulle untuk menghasilkan skirt midi serta skirt maxi berlipat yang pasti akan menggembirakan peminat pakaian Muslimah.
Mimpikita bermain dengan volume dan gabungan kain beralun berwarna manis.
Jonathan Liang turut feminin dengan kain lace jenis guipure floral berwarna pastel hijau, pink dan biru yang dipadankan dengan hoodie dan sweater untuk hasilkan rupa kasual.
Busana Seza Zukeple juga mempersembahkan rupa sweet dan berbunga tapi elegant.
Ezzati Amira menggunakan fabrik tenunan berkotak untuk hasilkan item pakaian menarik seperti jaket berlengan lebar dan skirt bersayap.
Maarimaia pula nampaknya akan menjadi jenama pakaian wanita yang popular dengan gaun berkilatnya.
Gabungan corak dan rona
Sementara itu, Azura Azwa mencantikkan lagi pakaian Muslimah dengan memberikannya rupa yang segak dan elegant.
Untuk koleksi pakaian Showmirizwa Gupta, dia bergantung kepada corak-corak serta item pakaian yang menyerlah. Ini membuktikan yang jika anda nak stand out di khalayak ramai, inilah jenama yang anda perlukan.
Ruzz Gahara tak menghampakan dengan koleksi corak batik yang dipersembahkan dalam warna lembut. Pendatang baru Ridzuan Alias pula menggayakan batiknya dengan kain bercorak petak yang akhirnya nampak macam gabungan inspirasi Kelantan dan Scotland.
Zuusaha pula menggunakan motif raksasa (macam dari kartun Nickelodeon, Aaahh!!! Real Monsters) sebagai corak pakaiannya termasuklah jaket dan sweater dengan corak raksasa yang timbul.
Jovian Mandagie kembali ke pentas KLFW dengan drama dalam seluar lebar dan beropolnya, termasuklah satu yang dibuat dengan bulu haiwan tiruan.
Sementara itu, Alia Bastamam membawakan dress seksi dan pendek yang lengkap dengan belahan tepi tinggi. Inai Red menutupi acara dengan pelbagai pakaian berkilat dan penuh glitter.
KLFW turut menampilkan jenama fesyen untuk kaum lelaki tapi nampaknya gaya-gaya yang dipersembahkan kali ini tak memberikan apa-apa pembaharuan daripada tahun lalu. Gaya yang lain pula nampaknya tak praktikal.
Sumber: New Straits Times