Categories: FeaturedGaya Hidup

Larangan bawa bunga segar ketika melawat pesakit kanser di wad hospital. Peringatan buat semua!

Sudah menjadi kemestian bagi masyarakat kita, setiap kali melawat pesakit di wad hospital, pasti akan membawa buah tangan sebagai inisiatif memberi keceriaan kepada mereka yang kurang sihat.

Buah-buahan, makanan, belon, bunga dan patung beruang  antara produk yang sering menjadi pilihan untuk dijadikan buah tangan, namun tahukah anda, Institut Kanser Negara telah mengeluarkan notis makluman di laman rasmi Facebook mereka mengenai larangan membawa bunga hidup atau segar di wad mereka.

Hal ini kerana, pesakit di pusat kanser terdiri daripada pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi. Justeru mereka mempunyai kurang daya tahan badan dan mudah dijangkiti penyakit.

Oleh itu, bunga hidup yang boleh menjadi tempat pembiakan kuman dan kulat TIDAK dibenarkan dibawa masuk ke dalam wad untuk mengelakkan jangkitan.

Foto: Facebook Institut Kanser Negara

Menurut Public Health Malaysia, larangan tersebut bukan suatu perkara yang baru kerana di United Kingdom, sembilan daripada 10 hospital melarang pengunjung membawa bunga segar ke hospital.

Selain mengelakkan jangkitan, larangan bunga segar itu juga bertujuan untuk mengelakkan masalah alahan dalam kalangan pesakit. Debunga daripada bunga (terutamanya bunga lily) boleh menyebabkan sesetangah individu mengalami alahan teruk dan menyebabkan serangan asma.

Walau bagaimanapun, saranan ini juga mendapat respon yang berbeza daripada pakar lain. Menurut Prof Hugh Pennington, Pakar Microbiologist, risiko jangkitan agak rendah, tetapi bunga dapat memberi keceriaan dan kegembiraan kepada pesakit.

Pendapat itu juga disokong oleh ahli psikologi, Emma Kenny yang menyebut terdapat banyak kajian yang membuktikan impak bunga kepada psikologi seseorang individu. 

Jadi kepada anda yang ingin melawat pesakit tidak kira sama ada di wad hospital mahupun di rumah, pastikan anda peka dengan perkara sebegini. Sebagai masyarakat yang bijak, kita kenalah mengutamakan kesihatan pesakit dan pastikan anda tahu polisi hospital dan wad.

Kalau boleh, elakkan memberi bunga kepada pesakit yang memiliki tahap imuniti yang rendah seperti pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Sumber: Public Health Malaysia

Ad Ops