Categories: FeaturedGaya Hidup

Musim tengkujuh bawa rezeki lumayan buat si pencuci permaidani ini

Rezeki tidak pernah salah alamat. 

Tatkala ada kalangan peniaga kebingungan kerana hilang sumber pendapatan sepanjang musim tengkujuh, lain pula ceritanya dengan seorang peniaga ini.

Musim itu memberikan pendapatan berganda untuk Ahmad Fasidi Mamat, 35, yang menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan mencuci permaidani di Kuala Nerus, Terengganu.

Foto: Bernama

Pemuda yang mengusahakan perniagaan di Taman Bestari itu berkata, sejak musim tengkujuh lalu, bilangan pelanggan yang menghantar permaidani ke kedainya meningkat berbanding waktu biasa.

“Kebiasaannya, kedai ini menerima 60 helai karpet setiap bulan namun jumlah itu meningkat sekali ganda setiap kali musim tengkujuh.

“Keistimewaan syarikat ini ialah kami dapat membersihkan permaidani yang kotor dalam tempoh tujuh hari sahaja berbanding kebanyakan kedai lain yang mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya,” katanya.

Foto: Bernama

Meskipun ada yang melihat keadaan itu sebagai peluang untuk memperoleh keuntungan berganda, pemilik Fafahaz @ My Laundry Shop itu tidak mahu mengambil kesempatan terhadap pelanggannya kerana sedar kesusahan yang dialami mangsa banjir, sebaliknya beliau memberi diskaun 25 peratus bagi mengurangkan beban mereka.

“Niat saya ikhlas mahu membantu, malah ketika kejadian ribut pada awal Oktober lalu saya turut memberikan diskaun 35 peratus berbanding 25 peratus sebelumnya kepada mangsa ribut yang menghantar permaidani kotor akibat bencana itu.

“Kami juga menerima panggilan untuk membersihkan permaidani yang dipasang secara built in di premis pejabat dan masjid, yang mana bagi bayaran untuk perkhidmatan di masjid, kami berikan diskaun 50 peratus,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Yanie Baharom