Categories: FeaturedGaya Hidup

Peperangan COVID-19 masih belum berakhir

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) yang bakal bermula 4 Mei ini bukan satu keputusan tergesa-tergesa sebaliknya dilakukan secara berperingkat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPB adalah kelonggaran bagi sebahagian sektor ekonomi untuk beroperasi, bukan menamatkan penguatkuasaan fasa empat PKP.

Katanya, PKP tetap dilaksanakan sehingga 12 Mei ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar arahan berkenaan.

Kredit gambar: Bernama

“PKPB akan dilaksanakan mengikut zon bermula dengan zon hijau dan syarikat yang ingin membuka perniagaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Perlu saya ingatkan bahawa PKP masih terus dilaksanakan dan Akta 342 masih lagi berkuatkuasa. Tindakan masih boleh diambil kepada mereka yang ingkar kepada akta ini.

“Jika ada premis langgar SOP yang dikeluarkan, kita akan tutup premis mereka dan tidak akan membenarkan mereka berniaga lagi kerana melanggar arahan. Tiada kompromi atau tolak ansur,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Kredit gambar: Babab.net

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memutuskan bahawa Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

PKPB membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula, namun dengan penguatkuasaan SOP yang ketat.

Ismail Sabri berkata, biarpun PKPB dilaksanakan, peperangan melawan COVID-19 masih lagi belum berakhir dan berharap rakyat mempunyai disiplin untuk menjaga kesihatan serta keselamatan diri dan keluarga.

“Walapun ada kebebasan untuk keluar, tidak bermakna dengan sewenang-wenangnya kita boleh keluar. PKP banyak mengajar kita untuk lebih berdisiplin, justeru kita harus mendisiplinkan diri dengan mengamalkan budaya norma baharu iaitu penjarakan sosial, mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Menjadi tanggungjawab kita (rakyat) sendiri untuk menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga, bukan terletak pada Kerajaan. Ingat, PKP tidak ditarik balik, cuma ada sedikit kelonggaran. Oleh itu saya berharap agar rakyat mematuhi setiap arahan sepanjang PKP ini,” katanya.

Ad Ops