Categories: FeaturedSihat

Kejayaan memerangi COVID-19 bergantung pada kerjasama masyarakat

Usaha memerangi COVID-19 memerlukan kerjasama padu antara Kerajaan dengan masyarakat dalam mengawal penularan virus berkenaan terutama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peperangan terhadap COVID-19 akan berterusan selagi vaksin belum ditemui, justeru negara memerlukan strategi baharu dalam usaha membendung penularan virus berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling bekerjasama bagi memastikan usaha berkenaan berjaya dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab itu pada Kerajaan semata-mata.

“Objektif PKP fasa satu, dua dan tiga adalah untuk melandaikan lengkungan graf jangkitan COVID-19, bukan untuk menamatkan jangkitan virus itu.  Peperangan ini masih berterusan, tetapi mungkin dalam medan yang berbeza yang memerlukan strategi baharu.

“Oleh itu, kita perlu memperkasakan dua pihak, yang pertama ialah Kerajaan dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan bagi berdepan dengan penularan ini, manakala strategi kedua memperkasa masyarakat bagi mengamalkan disiplin dan tanggungjawab sosial,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Sejak penularan COVID-19 dikesan di Malaysia pada Januari lalu, Kerajaan melakukan perancangan rapi bagi memastikan usaha untuk membendung wabak berkenaan dapat dilaksanakan.

Antaranya, melaksanakan empat daripada enam kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia  (WHO), iaitu kawalan sempadan, kawalan pergerakan (PKP), meningkatkan keupayaan kemudahan kesihatan awam seperti hospital dan makmal serta keupayaan melindungi golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya.

Anggota RELA yang ditempatkan di Pasar Awam ,Yan Kecil, Yan menjadi antara daerah yang merekodkan tiada kes jangkitan COVID-19. Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau supaya tidak leka dan kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). (Gambar hiasan/NSTP/KHIS/AMRAN HAMID)

Dr Noor Hisham berkata, dua lagi kriteria yang ditetapkan WHO itu adalah tanggungjawab masyarakat yang bakal menentukan kejayaan membendung penularan COVID-19 untuk jangka masa panjang.

“Virus ini akan berada dalam masyarakat untuk masa yang panjang, selagi vaksin tidak ditemui dan hanya mungkin berada di pasaran dalam setahun setengah, kita terpaksa hidup dengan virus ini seperti denggi yang masih ada dalam masyarakat, tetapi kita sudha Berjaya mengawalnya.

“Oleh itu, kita perlu menguruskan virus itu dengan mematuhi dua lagi kriteria WHO iaitu mengamalkan norma baharu dan memperkasakan masyarakat. Jika rakyat enggan bekerjasama, maka usaha memerangi COVID-19 ini sukar dilakukan pada masa akan datang,” katanya.

Fadzlena Jafar