Categories: FeaturedGaya Hidup

Prof Raha mahu UTeM  jadi ‘kilang’ lahir ahli teknologi berkemahiran tinggi

Pelantikan Prof Dr Raha Abdul Rahim sebagai Naib Canselor (NC) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu, bukan saja melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik menerajui UTeM, tetapi juga dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Wanita kecil molek yang lemah lembut apabila berbicara itu, sebelum ini menggalas jawatan sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), dan pernah menerajui pelbagai jabatan.

Mantan Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Raha Abdul Rahim, dilantik Naib Canselor UTeM yang baharu. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

Prof Raha yang dimaklumkan mengenai pelantikannya Jumaat lalu berkata, beliau menerima amanah baharu itu dengan penuh tanggungjawab dan berazam untuk menjadikan UTeM sebagai antara universiti unggul di negara ini.

“Misi saya adalah untuk menjadikan UTeM sebagai universiti yang menghasilkan ahli teknologi berkemahiran tinggi yang memberi impak positif kepada industri dan masyarakat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datin Paduka Siti Hamisah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), panel pemilih dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang telah memilih serta memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui UTeM,” katanya ketika dihubungi Hijab & Heels.

Pelantikan Prof Raha sebagai NC UTeM berkuat kuasa 16 Jun 2019  sehingga 15 Jun 2022. Ketika ini beliau sedang mengikuti kursus di Cambridge dan bakal kembali ke tanah air, 23 Jun depan.

Anak jati Johor itu dilahirkan pada 5 Mei 1963 dan bersekolah di sekolah berasrama penuh berprestij, iaitu Kolej Tunku Kurshiah.

Kecemerlangan beliau diteruskan apabila melanjutkan pelajaran di University of Oklahoma State, Amerika Syarikat dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dan seterusnya melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana di universiti sama pada tahun 1990.

Beliau kemudiannya memperoleh ijazah kedoktoran daripada University of Strathclyde, United Kingdom, pada tahun 1995.

Prof Dr Raha Abdul Rahim. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul di universiti terbabit.

Keunggulan beliau bukan setakat di Malaysia, sebaliknya beliau turut terkenal di luar negara termasuk menjadi ahli American Society for Microbiology dan Ketua Setiausaha Asian Federation of Societies for Lactic Acid Bacteria.

Beliau aktif menulis dan sehingga kini sudah menghasilkan lebih 130 jurnal akademik, persidangan, seminar dan aktiviti runding cara bagi beberapa agensi kerajaan serta industri bioteknologi.

Sumbangan beliau kepada universiti mendapat pengiktirafan apabila  menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UPM pada 2002,2004, 2005 dan 2009, selain menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang, Institut Biosains UPM pada 2007.

Beliau juga pernah meraih pelbagai pingat pencapaian dalam bidang kepakarannya iaitu bagi projek mikrobiologi dan biologi molekul.

 

Fadzlena Jafar