Categories: FeaturedSihat

Rahsia bancuhan teh agar perut bebas ‘angin’ dan sembelit

Kalau ke warung mamak, memang tidak sah kalau tidak memesan segelas teh tarik atau teh ais.

Penulis sendiri menggemarinya lebih-lebih lagi teh Siam, bukan sahaja kerana rasanya yang lemak berkrim disukai ramai tetapi warnanya yang menggiurkan!

Namun begitu, bercakap mengenai minuman dalam kumpulan herba ini tidak semua orang serasi atau boleh menikmatinya sepertimana tidak semua orang mampu menghadam kopi.

Senario atau kes paling kerap dialami penggemar teh adalah masalah angin atau perut berasa sebu dan tidak selesa.

Secara saintifiknya, terdapat pelbagai manfaat kesihatan daripada minuman berasaskan teh, namun pengambilan yang berlebihan juga boleh memudaratkan kesihatan!

Ini kerana seperti kopi, teh hitam juga didapati mengandungi kafein yang tinggi. Apabila badan menerima terlalu banyak kafein yang diperoleh melalui minuman yang diambil, terutamanya pada separuh hari yang kedua, ia akan mengganggu rutin tidur yang normal dan boleh menyebabkan anda mengalami  insomnia.

Foto: Pinterest

Selain kafein, di dalam teh juga mengandungi sejenis kimia yang dipanggil teofilina yang berupaya membuang toksin pada badan, menenangkan minda dan otot serta meningkatkan aliran darah.

Namun begitu, sekiranya anda minum teh terlalu banyak, teofilina boleh menyebabkan berlakunya sembelit melampau sehingga membuatkan badan mengalami dehidrasi. Sekali gus menyebabkan anda mengalami masalah perut berangin dan kembung perut apabila toksin dalam badan tidak dapat dikeluarkan.

Bagi memastikan anda boleh menikmati secangkir teh seperti biasa tanpa menjejaskan kesejahteraan tubuh, Hijab & Heels ingin kongsikan panduan cara membuat teh yang betul sekali gus tidak akan menjadikan perut sebu selepas meminumnya.

Untuk hasilkan minuman teh yang sedap, selain air mesti panas, teh perlu direndam sekurang-kurangnya empat minit untuk teh hitam dan kurang empat minit untuk teh hijau. Berbanding kebiasaan yang dilakukan kita hanya merendam teh tidak lebih dari dua minit.

Rendaman teh dalam tempoh yang ditetapkan, dapat mengeluarkan khasiat baik yang terdapat pada daun teh. Pastikan teh ditapis sebelum meminumnya.

Sebaliknya untuk teh uncang, pastikan rendaman teh tidak melebihi tiga minit kerana jika direndam terlalu lama, dikhuatiri kertas uncang digunakan berkualiti rendah mengandungi campuran lilin sehingga boleh menjejaskan khasiat teh apabila direndam lama.

Sebenarnya teh perlu waktu yang lama untuk mengeluarkan aroma dan juga rasanya. Empat minit adalah waktu paling sesuai untuk merendam teh dalam air panas mendidih.

Selain cara merendam teh, pemilihan cawan juga mempengaruhi rasa teh. Elak menggunakan cawan yang diperbuat daripada tanah liat. Sebaliknya pilih cawan porcelain untuk mengelakkan perubahan pada rasa dan mengurangkan kemungkinan cawan pecah.

Kepada penggemar teh, jangan lupa ikut panduan mudah ini supaya anda mendapat manfaat daripada minuman teh. Pastikan bancuhan air teh tidak terlampau manis, cukup sekadar satu sudu kecil gula sahaja!

Yanie Baharom