Categories: Featured

Reka Busana Anak Tok Ti, Pelanggan Mahu Ezuwan Ismail Buat Baju Seperti Aafiyah Untuk Anak Mereka

Kecantikan dan kecomelan Siti Aafiyah Khalid, puteri sulung kepada Diva Pop Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa, sehingga hari ini masih diperkatakan sejak wajahnya dipertontonkan kepada umum Ahad lalu. 

Dikatakan mempunyai iras wajah ibunya yang tak jemu mata memandang, kemanisan Aafiyah tambah terserlah dengan gaun hijau lembut redup rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. 

Ezuwan turut merasakan tempiasnya apabila gaun Aafiyah itu menjadi viral di kalangan netizen yang memberikan komen berbentuk pujian, bahkan ramai pelanggan mengirimkan mesej secara peribadi di mana mereka berminat untuk membuat tempahan gaun seperti Aafiyah untuk anak mereka.

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza @ctdk

Selaku pereka fesyen pertama yang merekacipta gaun untuk puteri kepada penyanyi Comel Pipi Merah itu, tentunya Ezuwan berasa amat terharu dan berbangga dengan penghormatan yang diberikan.

“Menghasilkan rekaan untuk baju newborn bukan mudah kerana setiap inci tubuh bayi halus atau petite. Nak potong kain pun kena extra hati-hati. Tetapi saya memang sudah biasa menghasilkan persalinan untuk bayi baru lahir sedondon dengan ibu mereka untuk majlis akikah pelanggan saya sebelum ini.

“Namun tidak dinafikan menghasilkan gaun untuk Aafiyah ini buat saya terasa istimewa selain menjadi antara momen manis sepanjang bergelar pereka fesyen. 

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza @ctdk

“Jujur saya amat terkejut kerana Siti mempunyai ramai pereka fesyen yang digemari, tetapi saya terpilih bagi merealisasikan majlis yang bukan saja amat bererti di kalangan keluarga beliau tetapi seluruh rakyat Malaysia kerana itulah pertama kali Aafiyah diperkenalkan kepada umum. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

“Ekslusif untuk Hijab & Heels, pasukan saya menghasilkan dua gaun untuk Aafiyah sebenarnya. Salah satunya berwarna peach namun, Siti memilih warna hijau lembut kerana itu memang warna yang dimintanya,” kata Ezuwan.

Untuk keselesaan bayi, busana itu menggunakan material dari fabrik chiffon, renda dan kain net serta taburan mutiara.

Foto kredit : Ezuwan Ismail @ezuwanismail

Mengakui berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat menghadiri majlis itu kerana sedang berada di China atas urusan kerja, Ezuwan sempat menceritakan detik dilamar Siti untuk menghasilkan pakaian beliau dan anaknya untuk dipakai pada majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik,yang berlangsung di kediaman Siti di Bukit Antarabangsa, Ahad lalu.

“Pasukan saya hanya mengambil masa kurang lapan jam menyiapkan dua persalinan rona hijau muda untuk Siti dan Aafiyah. Sesudah siap baju itu, barulah kami menghasilkan satu lagi gaun peach seperti saya maklumkan tadi untuk Aafiyah,” katanya.

Ezuwan menambah, dia menerima maklum balas daripada pelanggan baru dan lama untuk menghasilkan koleksi lebaran lengkap persalinan bayi dan kanak-kanak selepas ramai jatuh cinta dengan gaun dipakai Aafiyah.

Foto kredit : Ezuwan Ismail @ezuwanismail

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza @ctdk dan Ezuwan Ismail @ezuwanismail

Yanie Baharom